PEMBENTANGAN Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat signifikan dalam memahami hala tuju negara di bawah pimpinan Pakatan Harapan.
Ini disifatkan sebagai kali pertama masyarakat dalam era Malaysia Baharu didedahkan dengan pelan yang disebut sebagai 'dokumen reformasi' yang komprehensif yang menggariskan hala tuju negara.
Berikut merupakan ucapan penuh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.
PEMBERITAHU USUL
Tuan Yang di-Pertua,
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dengan sukacitanya saya berdiri di hadapan Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:
“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan Kerajaan serta pencapaian dua tahun pertama, 2016-2017 Rancangan Malaysia Kesebelas; merestui usaha Kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan untuk menambah baik dan memperkukuh agenda pembangunan negara berasaskan prinsip pertumbuhan dengan ekuiti ke arah mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020; meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
Kesebelas bagi tempoh 2018-2020 yang memberi keutamaan dan penekanan baharu ke atas dasar, strategi dan inisiatif sedia ada serta memperkukuh tadbir urus bagi mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang lebih inklusif dan mampan ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat menurut Kertas Perintah CMD. 22 Tahun 2018; dan
Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta pengagihan kekayaan dibuat secara telus, adil dan saksama.”
Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11), 2016-2020 untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
PENDAHULUAN
2. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan saya peluang berdiri di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan KSP RMKe-11. Ia adalah dokumen reformasi yang komprehensif dalam usaha mereformasikan negara.
3. Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sematamata. Kita melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat atau “shared prosperity”. Ini bermakna tidak wujud jurang pendapatan yang terlalu lebar antara miskin dan kaya antara kaum dan suku kaum. Tidak harus ada golongan yang merasakan mereka terpinggir dari arus perdana pembangunan. Pembangunan juga tidak boleh meninggalkan negeri atau wilayah tertentu di belakang.
4. Pembangunan dalam erti kata sebenar perlu menyumbang kepada pembangunan bangsa Malaysia. Pertumbuhan ekonomi berterusan dan merata memerlukan persekitaran bukan ekonomi juga kukuh dan bebas dari cengkaman politik. Pentadbiran perlu bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kekayaan negara tidak akan dirompak oleh mana-mana pihak.
5. Rakyat menuntut perubahan. Maka pada 9 Mei 2018 rakyat membuka lembaran baharu dalam sejarah negara. Mereka memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk peralihan kuasa secara aman dan tersusun. Di hari tersebut, 12.3 juta rakyat Malaysia telah menamatkan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan kleptokrat.
6. Dengan mandat yang diberikan oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Harapan dapat melaksanakan reformasi dan berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul ke arah negara maju untuk semua. Tetapi pembinaan Malaysia baharu tidak akan tercapai dalam masa yang singkat.
7. Rejim kleptokrat yang lalu telah menyebabkan Kerajaan hari ini menanggung beban hutang yang lebih dari satu trilion ringgit. Institusi dan pentadbiran awam negara juga telah rosak. Kerajaan Pakatan Harapan bertekad mereformasikan institusi awam supaya ia melaksana amanah rakyat.
8. KSP RMKe-11 ini membuat anjakan dan penyesuaian ke atas dasar dan strategi jangka sederhana. Sementara itu, strategi jangka pendek pembangunan negara akan dibentang dalam Bajet 2019 pada 2 November 2018 nanti.
Tuan Yang di-Pertua,
9. Kajian Separuh Penggal ini juga merupakan dokumen dasar pertama Kerajaan Pakatan Harapan. Ia menggariskan keutamaan dan penekanan baharu agar falsafah, dasar dan strategi pembangunan seiring dengan aspirasi rakyat dan azam Kerajaan.
10. Ia menilai pencapaian dalam tempoh 2016-2017. Kajian ini juga menyemak semula sasaran, strategi dan inisiatif bagi tempoh 2018-2020 dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan Kerajaan dan keutamaan semasa bagi memenuhi harapan rakyat.
Tuan Yang di-Pertua,
PERSPEKTIF EKONOMI MAKRO
Prestasi Ekonomi, 2016-2017
11. Dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan, 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dalam suasana inflasi pada kadar purata 2.9 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh, dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.
12. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita pada harga semasa pula meningkat pada kadar purata 6.7 peratus, daripada 36,119 ringgit (atau 9,248 dolar Amerika) pada tahun 2015 kepada 41,093 ringgit (atau 9,556 dolar Amerika) pada tahun 2017. Dari segi pariti kuasa beli (atau PPP), PNK per kapita Malaysia telah mencecah 28,650 dolar Amerika seperti dianggarkan oleh Bank Dunia. Pencapaian ini menempatkan Malaysia dalam kumpulan 25 persentil teratas daripada 217 negara. Berdasarkan paras minimum negara berpendapatan tinggi yang ditetapkan oleh Bank Dunia sebanyak 12,056 dolar Amerika bagi tahun 2017, terdapat jurang pendapatan 21 peratus yang perlu diatasi sebelum Malaysia berjaya melepasi status negara berpendapatan menengah tinggi.
13. Pertumbuhan ini secara umumnya diterima antara yang terbaik di rantau ini. Namun, apa yang lebih bermakna ialah KDNK dari aspek pendapatan, iaitu siapa yang menerima manfaat pertumbuhan ekonomi ini. Sejak satu dekad yang lepas, kebanyakan manfaat pertumbuhan ini dinikmati oleh pemilik modal dan hanya sebahagian kecil iaitu sekitar satu per tiga daripada KDNK dinikmati oleh pekerja. Di samping itu, terdapat jurang pendapatan yang ketara antara pekerja berkemahiran tinggi yang mendapat upah yang lumayan berbanding dengan mereka yang kurang berkemahiran dan mendapat upah yang rendah. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi ini kurang dirasai oleh kebanyakan rakyat.
14. Sesuatu yang menidakkan kesahihan angka prestasi ekonomi negara ialah amalan peruntukan “off budget” iaitu pengasingan urusan kewangan di luar budget. Jika hutang, perbelanjaan, kehilangan wang berbillion diambil kira maka kedudukan kewangan negara tidaklah sebaik seperti angka yang dicatat di atas.
15. Kerajaan BN telah berbelanja dengan boros dan tidak berhemat. Sekarang kita perlu berbelanja dengan cermat. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan perlu dikukuhkan. Amalan kewangan yang tidak telus akan dihentikan dan ketirisan pada semua peringkat ditangani.
Langkah ini termasuk mengkaji semula pelaksanaan projek yang tidak mampan dan membatalkan projek berkeutamaan rendah. Namun, projek pembangunan sosioekonomi yang berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat akan diteruskan.
Tuan Yang di-Pertua,
Prospek Ekonomi, 2018-2020
16. Langkah berjimat cermat bagi tempoh 2018-2020 boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi hanya bersifat sementara. Saya yakin dengan langkah membasmi ketirisan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
17. Ekonomi disasarkan berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negeri, terutamanya permintaan kukuh dalam kalangan negara rantau Asia. Permintaan swasta dijangka kekal menerajui pertumbuhan ekonomi, dengan pelaburan swasta dijangka berkembang 5.7 peratus setahun.
18. Dengan penambahbaikan tadbir urus dan peningkatan hasil, Kerajaan yakin kedudukan fiskal dapat dipulihkan pada akhir tahun 2020. Kerajaan mensasarkan defisit fiskal sebanyak 3 peratus kepada KDNK pada tahun 2020. Antara langkah proaktif yang telah berjaya diambil adalah menangguhkan pelaksanaan High Speed Rail (HSR). Pada masa yang sama, Kerajaan juga perlu memastikan pengurangan perbelanjaan awam tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Tuan Yang di-Pertua,
KEUTAMAAN DAN PENEKANAN BAHARU, 2018-2020
19. Dalam tempoh akhir Rancangan 2018-2020, usaha akan dipergiat untuk meningkatkan daya tahan asas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Saya bentangkan keutamaan dan penekanan baharu, berasaskan Enam Tonggak, iaitu:
Pertama: Mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam;
Kedua: Memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat;
Ketiga: Menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang;
Keempat: Memperkasa modal insan;
Kelima: Mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau;
Keenam: Memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 1: MEREFORMASI TADBIR URUS KE ARAH
MENINGKATKAN KETELUSAN DAN KECEKAPAN PERKHIDMATAN
AWAM
20. Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah memulakannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Tadbir urus Kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa.
Keutamaan Pertama : Menambah Baik Tadbir Urus pada Semua Peringkat
21. Langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkat mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat. Sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya diurus oleh dua individu yang berlainan.
22. Kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.
23. Hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme. Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar.
24. Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain.
25. Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media. Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenal.
Keutamaan Kedua: Meningkatkan Integriti dan Akauntabiliti
26. Kerajaan bertekad untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti serta membanteras gejala rasuah secara menyeluruh yang melibatkan sektor awam dan swasta. SPRM akan ditransformasi sebagai sebuah badan bebas sepenuhnya dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh. Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
27. Rakyat perlu ada tempat untuk mengadu. Ombudsman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan. Bagi mempertingkat integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis akan ditubuhkan.
Keutamaan Ketiga: Menguatkuasakan Pelaksanaan Pengurusan Kewangan Awam secara Berhemat
28. Reformasi menyeluruh ke atas mekanisme pengurusan dana awam akan dilaksana. Strategi yang akan dilaksana adalah mempertingkat sistem belanjawan negara, menambah baik pengurusan perolehan serta memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan dan penilaian. Pelaksanaan sistem perakaunan akruan juga akan dipercepat dan Akta Prosedur Kewangan 1957 akan dikaji semula.
29. Prosedur perolehan Kerajaan akan ditambah baik dengan memperkenalkan rangka kerja perundangan berkaitan yang lebih komprehensif dan berkesan, serta menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka. Kerajaan juga akan mengkaji semula rangka kerja projek perkongsian awam-swasta bagi mengoptimumkan sumber.
Keutamaan Keempat: Memperkukuh Penyampaian Perkhidmatan Awam
30. Usaha akan dipergiat untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dengan mereformasi institusi sektor awam. Satu pasukan petugas khas akan ditubuh untuk menilai peranan dan fungsi pelbagai entiti termasuk badan berkanun dan syarikat milik Kerajaan.
31. Ke arah menghapuskan pertindihan dan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat penyampaian perkhidmatan, aspek prosedur dan proses kerja akan dikaji semula dengan memanfaatkan teknologi terkini. Jentera perkhidmatan awam akan diperkemas ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui adaptasi model kecemerlangan perniagaan sebagai instrumen analisis prestasi kementerian dan agensi.
32. Pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai pihak yang paling hampir dengan rakyat, akan diperkasa selaras dengan keperluan rakyat dan perkembangan teknologi. Ini akan dilaksana melalui penarafan PBT berdasarkan tahap kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 2 : MEMPERKUKUH PEMBANGUNAN INKLUSIF DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
33. Pendekatan pembangunan inklusif akan dilaksana melalui penekanan kepada pertumbuhan dengan ekuiti untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat.
Keutamaan Pertama: Meningkatkan Inklusiviti ke arah Masyarakat yang Saksama
34. Saya ingin tegaskan bahawa peningkatan pendapatan sahaja tidak mencukupi kalau tidak diiringi dengan peningkatan kuasa beli. Bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat, terutama isi rumah, daya keluaran produktiviti mestilah dinaikkan. Ini boleh dicapai melalui latihan kecekapan dan pengurusan yang lebih cekap dan bagi sektor pembuatan, penggunaan mesin dan teknologi yang moden dan canggih termasuk robotik dan automasi akan dipergiat.
35. Kita juga perlu prihatin dengan rakyat yang hilang mata pencarian akibat sakit, kemalangan dan lain-lain. Maka, sistem perlindungan sosial akan diperkukuh. Selain itu, program bantuan Kerajaan, khususnya yang melibatkan jaringan keselamatan sosial akan dikaji semula supaya lebih bersasar.
36. Reformasi Agenda Pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan. Antara inisiatif yang akan diambil adalah perubahan minda yang positif dan penerapan nilai murni, pengukuhan keberkesanan institusi dan program, pemerkasaan modal insan dan pengukuhan pendidikan dan latihan bagi mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.
37. Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) yang diadakan pada 1 September 2018 telah menghasilkan 63 resolusi yang sedang diteliti oleh Kerajaan. Kerajaan akan memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat membentuk generasi Bumiputera baharu yang berpegang teguh kepada nilai moral integriti serta sikap rajin berusaha.
Tuan Yang di-Pertua,
38. Sebagai Kerajaan yang prihatin ke arah mewujudkan masyarakat yang saksama, usaha akan dipertingkat untuk memperkasa kumpulan minoriti. Program khusus akan dilaksana bagi suku-suku kaum Sabah dan Sarawak dan juga orang asli, di kawasan luar bandar dan pedalaman. Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk penawaran lebih banyak program dan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan. Bagi kumpulan tertentu dalam kalangan masyarakat India dan Cina, beberapa program khusus akan dilaksana bagi membangunkan potensi ekonomi mereka dan membasmi kemiskinan.
39. Pelbagai program dan inisiatif akan dilaksana untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, belia, wanita, institusi keluarga, warga kurang upaya dan warga emas. Antaranya ialah membangunkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-kanak serta program pembangunan dan pemerkasaan belia. Bagi mempertingkat penglibatan wanita dalam pasaran buruh, majikan digalakkan untuk menyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan aturan kerja yang fleksibel. Selain itu, program pembangunan keluarga seperti kemahiran keibubapaan, menyemak semula dasar dan perundangan yang berkaitan orang kurang upaya dan menggalakkan persekitaran penuaan yang aktif bagi warga emas akan dilaksana.
Keutamaan Kedua : Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat
40. Pelbagai inisiatif akan dilaksana bagi meningkatkan kuasa beli rakyat dan mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup. Tumpuan juga akan diberi untuk membendung kenaikan harga barang melalui pelbagai langkah seperti kawalan harga, mempergiat penguatkuasaan dan mempertingkat tahap konsumerisme.
41. Perumahan adalah penting untuk kesejahteraan keluarga. Sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik disasarkan dalam tempoh 2018-2020 dengan menggalakkan penglibatan yang lebih luas oleh sektor swasta. Majlis Perumahan Mampu Milik Negara akan ditubuhkan untuk menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.
42. Kerajaan komited untuk memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan. Antaranya, mewujudkan dasar kesihatan negara, meningkatkan kapasiti modal insan dan kemudahan kesihatan serta mengkaji model skim penjagaan kesihatan ke arah mewujudkan skim pembiayaan kesihatan nasional.
43. Dalam meningkatkan kapasiti kemudahan kesihatan awam, sebuah pusat kanser wilayah utara akan dibina sebagai pelengkap kepada Institut Kanser Negara. Kerajaan juga akan mewujudkan sebuah pusat kawalan dan pencegahan penyakit kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan untuk mengesan, mencegah dan mengatasi ancaman penyakit.
44. Perbandaran dan perindustrian yang pantas memberikan tekanan kepada kesejahteraan mental. Satu pelan tindakan akan dirangka bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental. Selain itu, dasar dan peraturan baharu akan digubal untuk mengawal selia produk, teknologi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian.
45. Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara. Tumpuan akan diberi untuk mengukuh keupayaan dan kapasiti agensi penguatkuasaan dan keselamatan serta mempergiat usaha pencegahan jenayah. Bagi mengekang pencerobohan sempadan, kawalan terutamanya di pintu masuk negara akan dipertingkat.
46. Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial akan terus dipupuk untuk menjamin keharmonian negara. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat dan mewujudkan Indeks Perpaduan Nasional sebagai instrumen untuk memantau tahap
perpaduan dan keharmonian.
47. Dalam perjuangan mencapai status negara maju, kita, khususnya generasi muda, tidak harus lupa aspek nilai dan jati diri. Sehubungan itu, peranan keluarga, sekolah dan komuniti akan diperkukuh bagi mempromosi nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan.
48. Sukan akan terus menjadi platform untuk menggalak gaya hidup aktif dan sihat serta menyatupadukan rakyat. Oleh itu, lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi akan dibangun dan dinaik taraf. Pendekatan baharu, iaitu keseluruhan sukan, akan juga dilaksana bagi menggalakkan kecemerlangan sukan dan gaya hidup sihat.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 3 : MENUJU KE ARAH PEMBANGUNAN WILAYAH YANG SEIMBANG
49. Semua negeri perlu maju bersama. Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang. Oleh itu, Kerajaan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan. Selaras dengan ini, Kerajaan akan memastikan peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis supaya mencapai pembangunan yang lebih setara.
Keutamaan Pertama: Memperkukuh Pembangunan Ekonomi Wilayah
50. Untuk memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, perancangan pembangunan pada peringkat nasional, wilayah dan negeri perlu diperkemas. Penyelarasan antara negeri bagi penyediaan infrastruktur akan dipertingkat untuk mengoptimum penggunaan sumber serta memoden dan mempelbagaikan asas ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Keutamaan Kedua: Merapatkan Jurang Pembangunan antara Bandar dan Luar Bandar
51. Kerajaan akan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Untuk itu, rangkaian jalan raya akan diperluas dengan membina dan menaik taraf 1,500 kilometer lagi jalan luar bandar. Kerajaan juga memperluas akses kepada bekalan air bersih dan terawat meliputi sasaran 60,000 tambahan rumah, meluaskan akses bekalan elektrik kepada sasaran 41,160 tambahan rumah. Sementara itu, infrastruktur digital akan dipertingkat untuk memperluas liputan dan menambah baik kualiti jalur lebar melalui pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 1,000 menara sedia ada.
52. Aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan ditingkatkan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan. Aktiviti ekonomi luar bandar yang mampan seperti industri asas tani, ekopelancongan dan agropelancongan juga akan digalakkan. Bantuan akan diberi termasuk menyediakan premis perniagaan untuk usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar.
Keutamaan Ketiga: Mempercepat Pembangunan di Sabah dan Sarawak
53. Sabah dan Sarawak berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dengan mengoptimumkan sumber asli yang ada. Untuk itu, Kerajaan akan mengagihkan pendapatan minyak dan gas secara saksama mengikut perundangan sedia ada. Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula dan memantau pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963.
54. Demi kemakmuran rakyat di Sabah dan Sarawak, infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar turut akan dipertingkat. Beberapa inisiatif akan dilaksana termasuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar meliputi pembinaan 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada. Kerajaan juga akan menyediakan 7,000 unit rumah mampu milik serta menaik taraf 400 buah sekolah daif. Dari segi kemudahan kesihatan, tiga buah hospital akan dinaik taraf, iaitu di Papar, Miri dan Lawas.
55. Pembangunan tanah adat adalah penting untuk mewujudkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan masyarakat setempat. Oleh itu, kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan, pemilik tanah dan pelabur akan dipertingkat. Aktiviti pengukuran dan pemetaan Hak Tanah Adat akan dilaksana bagi membolehkan tanah adat dibangunkan.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 4 : MEMPERKASA MODAL INSAN
56. Kerajaan akan terus memberi penekanan untuk membangunkan modal insan bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Keutamaan Pertama : Mereformasi Pasaran Buruh
57. Kerajaan akan mereformasi pasaran buruh ke arah mewujudkan pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji yang tinggi, dengan menggalakkan automasi dan inovasi, menerima guna teknologi baharu serta mengkomersialkan harta intelek. Pelaburan berkualiti tinggi juga akan diberi keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran.
58. Bagi meningkatkan gaji dan upah, semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksana. Perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah berjaya ditangani. Mulai 1 Januari 2019 gaji minimum bulanan diseragamkan kepada 1,050 ringgit di seluruh negara. Di samping itu, perluasan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti akan dipergiatkan.
59. Kerajaan berazam untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui penambahbaikan pengurusan pekerja asing. Antara langkah yang dicadangkan adalah mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berasaskan kepada jumlah pekerja asing yang digaji. Harus diingat jika pekerja tempatan sanggup bekerja maka pekerja asing tidak akan datang ke negara kita.
Keutamaan Kedua: Menambah Baik Kecekapan dan Produktiviti Buruh
60. Kerajaan akan mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi menambah baik kecekapan dan produktiviti buruh. Hak pekerja akan diperkukuh melalui kajian semula undang-undang perburuhan dan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan yang menyeluruh. Pekerja yang diinsuranskan akan menerima manfaat yang merangkumi elaun mencari pekerjaan, latihan, penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya. Adalah amat penting kita menyediakan pekerja dan golongan profesional menghadapi disruption yang bakal dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat. Revolusi ini akan menghapuskan banyak jenis pekerjaan seperti buruh manual dalam sektor pembuatan, tetapi juga akan mencipta peluang pekerjaan baharu seperti penyelenggaraan dan kejuruteraan robotik dan automasi.
Keutamaan Ketiga: Meningkatkan Akses kepada Pendidikan dan Latihan yang Berkualiti
61. Kerajaan akan meningkatkan akses yang saksama kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti. Bagi pendidikan asas, usaha akan ditumpu kepada peningkatan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), penguasaan Bahasa Inggeris dan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi.
62. Bagi menetapkan standard pendidikan yang lebih tinggi serta memupuk nilai murni dan budaya kerja yang positif seperti diamalkan di Jepun, Kerajaan akan mengkaji semula kedua-dua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Sementara itu, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dikaji semula dengan menggantikannya dengan perundangan baharu yang menyeluruh dan lebih baik ke arah mewujudkan kebebasan akademik, bersuara dan berpersatuan.
63. Dalam tempoh akhir Rancangan, Kerajaan akan melaksanakan Projek Pembinaan Bangunan bagi Pusat Perkhidmatan Rawatan Pesakit Luar dan Pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan dan Hospital Pengajar di Universiti Malaysia Sarawak. Kerajaan juga akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar institusi pendidikan tinggi dengan meneruskan penajaan Skim Latihan Akademik untuk mereka melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
64. Kerajaan hari ini komited untuk meningkat keupayaan belia dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi. Kerajaan akan meneruskan program latihan prapekerjaan di bawah skim Latihan Bakal Pekerja dengan menyediakan dana bagi membantu membiayai yuran program di pusat pembangunan kemahiran negeri.
Keutamaan Keempat : Memupuk Jalinan Industri-Akademia yang Lebih Kukuh
65. Kerjasama industri dan akademia yang lebih erat adalah penting untuk memadankan penawaran dengan permintaan. Keutamaan akan diberi untuk membangunkan kemahiran berkaitan industri dengan melaksanakan program berasaskan industri dan mengiktiraf teknologi sebagai profesional. Kerajaan juga akan menggalakkan institusi TVET untuk mempelajari dan menerima guna amalan terbaik daripada Jepun, khususnya melalui penerapan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini dalam pengajaran dan pembelajaran.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 5 : MEMPERTINGKAT KEMAMPANAN ALAM SEKITAR MELALUI PERTUMBUHAN HIJAU
66. Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan sosioekonomi turut memberi penekanan kepada aspek perlindungan alam sekitar, selaras dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.
Keutamaan Pertama : Memperkukuh Tadbir Urus
67. Tadbir urus akan diperkukuh bagi memudah cara peralihan ke arah pertumbuhan hijau dan pengurusan sumber yang lebih baik. Sehubungan ini, dasar, perundangan, standard dan garis panduan berkaitan alam sekitar dan sumber asli akan dikaji semula atau diwujudkan dan ditanda aras dengan amalan terbaik antarabangsa.
68. Semua projek pembangunan perlu mematuhi standard perlindungan alam sekitar dan garis panduan pembangunan. Dalam hal ini, rangka kerja institusi akan diperkukuh, manakala kapasiti dan keupayaan pemantauan serta penguatkuasaan akan ditambah baik. Pelaksanaan pematuhan kendiri terpimpin dalam kalangan industri akan diperluas, manakala masyarakat dan pihak berkepentingan akan terus digalak untuk menghargai dan melindungi alam sekitar.
Keutamaan Kedua : Memulihara Sumber Asli
69. Usaha untuk melindungi, memulihara dan memulihkan khazanah strategik negara adalah penting bagi memastikan kemampanan dan sumbangan berterusan kepada pembangunan.
Pewartaan lebih banyak kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin sebagai kawasan perlindungan akan dipergiat. Bagi menangani konflik antara manusia dengan hidupan liar, lebih banyak laluan untuk hidupan liar akan disediakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Keutamaan Ketiga : Menangani Perubahan Iklim dan mengurangkan Risiko Bencana
70. Langkah mitigasi perubahan iklim akan dipergiat bagi memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris. Dalam hal ini, pelan tindakan mitigasi nasional akan disediakan dan pelaksanaan cukai karbon akan diteliti. Sementara itu, langkah adaptasi perubahan iklim akan terus dilaksana dan pelan tindakan akan dirangka sebagai panduan dalam perancangan dan penyelarasan langkah adaptasi di seluruh negara.
71. Penerimagunaan konsep penggunaan dan pengeluaran mampan akan digalakkan melalui perluasan inisiatif perolehan hijau kerajaan dan inisiatif merubah sisa kepada kekayaan ataupun sisa kepada tenaga. Manakala, penggunaan plastik sekali guna akan dikurangkan.
72. Kebergantungan kepada bahan api fosil akan dikurangkan melalui peningkatan sumbangan tenaga boleh baharu (renewable) dalam penjanaan elektrik. Penjanaan elektrik daripada biojisim dan biogas akan digalak, manakala daya maju teknikal dan potensi aplikasi komersial teknologi baharu akan diteroka seperti grid mikro dan penyimpanan tenaga dalam bateri. Di samping itu, pengurusan permintaan tenaga akan terus diperkukuh melalui penyediaan pelan induk bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan tenaga. Penggunaan sistem LED akan ditingkatkan.
73. Keupayaan pengurusan risiko bencana akan ditingkat melalui integrasi langkah pengurangan risiko bencana dalam perancangan dan pembangunan. Kesiapsiagaan menghadapi bencana juga akan dipertingkat melalui pembangunan sistem bersepadu bagi ramalan cuaca dan banjir serta amaran awal banjir. Keupayaan tindak balas agensi berkaitan bencana dan komuniti juga akan dipertingkat bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Tuan Yang di-Pertua,
TONGGAK 6 : MEMPERKUKUH PERTUMBUHAN EKONOMI
74. Momentum pertumbuhan ekonomi akan diperkukuh dengan merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan swasta. Tumpuan akan diberi kepada pengukuhan asas ekonomi berlandaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti nilai ditambah tinggi ke arah meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.
Keutamaan Pertama : Memperkukuh Pertumbuhan Sektoral dan Mereformasi Struktur
75. Sektor perkhidmatan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, sektor perkhidmatan yang berintensif pengetahuan akan dipertingkat. Usaha juga akan dipergiat bagi mewujudkan ekosistem yang dinamik, menggalakkan penerimagunaan teknologi terkini dan e-dagang serta memanfaatkan platform digital untuk mempromosi produk dan perkhidmatan bagi menembusi pasaran antarabangsa. Sehubungan itu, Malaysia akan dijenamakan semula sebagai destinasi pelancongan utama dan produk ekopelancongan tempatan akan dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong.
76. Kerajaan akan menggalakkan peralihan sektor pembuatan ke arah pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, pelbagai dan kompleks. Subsektor pembuatan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, iaitu aeroangkasa dan peranti perubatan, juga akan
diutamakan. Pihak industri perlu meningkatkan produktiviti dengan mempercepat penggunaan robotik, automasi dan inovasi, menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta melaksanakan amalan pengeluaran mampan.
77. Kerajaan sedar kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi. Oleh itu, usaha untuk mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana. Matlamat Kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK kepada 41 peratus pada tahun 2020. Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport.
78. Bagi sektor pertanian, reformasi subsektor agromakanan akan diteruskan bagi meningkatkan sumbangan subsektor ini kepada nilai ditambah pertanian kepada 42.8 peratus pada tahun 2020 serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Ini termasuklah inisiatif mengurus permintaan dan penawaran makanan, membangunkan input alternatif dan sumber kekayaan baharu serta memperkenalkan aktiviti pertanian nilai tambah yang tinggi. Inisiatif ini akan meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, nelayan dan penternak.
Tuan Yang di-Pertua,
Keutamaan Kedua : Mempercepat Inovasi dan Penerimagunaan Teknologi
79. Negara perlu memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Oleh itu, rangka kerja dasar nasional mengenai 4IR akan dibentuk untuk menggalakkan inovasi, kreativiti dan daya saing dalam menghadapi revolusi digital yang semakin berkembang pesat. Manakala, Dasar Negara Mengenai Industri 4.0, 2018-2025 yang menggariskan pelan tindakan penggunaan teknologi berkaitan Industri 4.0 akan dilancarkan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembuatan. Tumpuan juga akan diberi kepada beberapa bidang seperti bioteknologi, nanoteknologi, teknologi digital, teknologi hijau dan teknologi neuro yang akan melonjakkan kemajuan sains, teknologi dan inovasi.
Keutamaan Ketiga : Menyediakan Infrastruktur yang Berkualiti
80. Kerajaan akan memastikan infrastruktur yang disediakan adalah berkualiti dari segi integrasi, liputan dan ketersambungan serta kemampuan dan kemampanan. Bagi memperkukuh ketersambungan merentas wilayah, pembinaan lebuh raya di luar kawasan Lembah Klang
akan terus diberi keutamaan, antaranya meneruskan pelaksanaan jajaran Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. Selain itu, pembesaran terminal, pemanjangan landasan dan penambahbaikan kemudahan bagi lapangan terbang terpilih akan dilaksana. Misalnya, menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
81. Pertumbuhan logistik dan fasilitasi perdagangan akan dipertingkat melalui inisiatif uCustoms, gerbang tunggal yang menyediakan proses bersepadu dan lengkap bagi pelepasan kargo, yang
akan dilancarkan pada awal tahun 2019. Inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta daya saing pemain logistik Malaysia.
82. Langkah untuk menambah baik infrastruktur digital akan terus dilaksana. Ke arah ini, kapasiti dan liputan jalur lebar akan terus dipertingkat menerusi National Fiberisation and Connectivity Plan untuk mencapai sasaran 95 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk.
83. Usaha menambah baik perkhidmatan bekalan air kepada negeri yang mempunyai rizab margin rendah seperti Kedah dan Perlis akan diberi keutamaan melalui menaik taraf loji sedia ada dan membina loji baharu. Pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan berpusat di bandar utama seperti Alor Setar, Kuantan dan Taiping akan dilaksana.
84. Kerajaan akan memastikan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mampan bagi mengukuhkan jaminan tenaga dan meningkatkan kecekapan bekalan tenaga. Ini akan dicapai melalui pembinaan fasiliti terapung gas asli cecair yang kedua milik PETRONAS di luar pesisir
pantai Sabah serta projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor.
85. Kecekapan dan daya harap bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia akan ditingkatkan menerusi pelaksanaan fasa kedua Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), dari tahun 2018 hingga tahun 2020. Pelaksanaan IBR akan diperluas ke Sabah dalam tempoh akhir Rancangan. Sementara itu, pembinaan loji janakuasa baharu akan dilaksanakan melalui bidaan kompetitif supaya lebih telus dan wujud persaingan sihat dalam kalangan pemain industri.
Tuan Yang di-Pertua,
MALAYSIA DAN DUNIA
86. Semua yang saya bentangkan ini menjurus untuk memperkukuh ekonomi, institusi awam dan tadbir urus Kerajaan. Apabila kita berjaya, bermakna kita telah menebus maruah negara dan bangsa Malaysia. Kita akan dihormati kembali oleh dunia. Malaysia boleh kembali menyuarakan kepentingan negara-negara kecil di forum-forum dunia. Ini yang dilakukan baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
87. Malaysia tidak dapat mengelak dari percaturan politik dunia khususnya antara kuasa-kuasa besar. Lebih-lebih lagi kedudukan Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan di mana berlaku ketegangan antara Amerika Syarikat dan China. Kita mengambil sikap berkecuali. Kita mahu rantau ini kekal aman dan bebas seperti yang termaktub dalam doktrin ZOPFAN. Sebagai sebuah negara perdagangan kita mahu kebebasan pelayaran - freedom of navigation - terjamin.
Malaysia tidak boleh melakukan ini secara bersendirian. Kita perlu berpegang kepada prinsip collective security. Justeru, Malaysia perlu berperanan untuk memperkukuh ASEAN untuk menjamin agar rantau ini terus stabil dan selamat.
PENUTUP
88. Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia.
89. Kita mahu Malaysia yang bersatu padu. Kita mahu rakyat Malaysia berjaya dan menikmati kekayaan negara. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini. Jika semua yang terkandung dalam dokumen ini dilaksanakan, saya yakin Malaysia akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia.
Imej Malaysia akan bertukar dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti. Rakyat Malaysia di mana-mana tempat di seluruh pelusuk dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia.
90. Inilah tekad kita. Inilah janji kita. Saya berdoa kepada Tuhan agar kita dapat melaksanakannya bersama seluruh bangsa Malaysia.
91. Akhir sekali, harapan saya adalah pada anak muda. Sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini, kalau tidak kepada generasi muda. Saya seru kepada generasi muda: belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dapatkan segala kemahiran. Perkukuhkan jati diri. Pegang teguh pada agama dan nilai-nilai murni. Tolak rasuah dengan sekeras-kerasnya. Hayati kebenaran, kejujuran dan keadilan. Ayuh, marilah kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadang.
Astro Awani
Thu Oct 18 2018
6 tonggak utama dibentangkan oleh PM Tun Dr Mahathir dalam Kajian Separuh Penggal Kedua RMK11. - Gambar Astro AWANI
MAIWP peruntuk RM1.67 bilion, anggaran perbelanjaan 2025 - Mohd Na'im
MAIWP memperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 4.43 peratus berbanding tahun lepas berjumlah RM1.60 bilion.
Indonesia laksanakan operasi pengubahan cuaca untuk kurangkan hujan lebat di Jawa Barat
Indonesia telah melancarkan operasi pembenihan awan untuk mengurangkan kesan hujan lebat dan risiko banjir di Sukabumi dan Cianjur.
Bantuan YKM akan disalur secara bulanan mulai tahun depan - Ismail Sabri
Bantuan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan disalurkan secara bulanan mulai tahun depan berbanding empat kali bayaran setahun sebelum ini.
Inisiatif penghantaran hijau tingkat potensi logistik di Lembah Klang - Loke
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) – Sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan logistik dan menyokong peralihan hijau, satu projek rintis menggunakan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) unt
Mangsa gangguan seksual perlu berani tampil buat laporan - Nancy Shukri
Mangsa gangguan seksual perlu berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian yang dialami atau mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan oleh KPWKM.
Mohamad Hasan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
MSNR pastikan getah Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa
Industri getah negara merekodkan pencapaian membanggakan menerusi pelaksanaan inisiatif MSNR yang bertujuan memastikan komoditi berkenaan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Isu bayi 'disimpan' : Peguam minta tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman
Bapa kepada bayi lelaki yang mayatnya 'disimpan' di sebuah hospital swasta memberi masa sehingga 12 tengah malam Khamis kepada netizen yang memfitnah di media sosial supaya menarik balik kenyataan.
37 rakyat Palestin maut akibat bedilan udara Israel
Sekurang-kurangnya 37 warga Palestin terbunuh dalam siri serangan udara tentera Israel pada pagi Khamis, yang menyasarkan pengiring trak bantuan serta rumah-rumah yang menempatkan pelarian di seluruh Semenanjung Gaza. Menurut sumber perubatan, serangan udara di kawasan barat Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza meragut nyawa 15 rakyat Palestin, manakala 30 lagi dilaporkan cedera.
Seorang maut selepas pangsapuri mewah di Shenzhen terbakar
Kebakaran melibatkan sebuah pangsapuri mewah di tengah Shenzhen, Selatan China mengorbankan seorang individu. Asap tebal dilihat menyelubungi udara dan mencetuskan kegusaran orang ramai yang melihat kejadian itu berlaku.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 8 Disember 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 2 Disember 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 27 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 24 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 23 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 20 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 10 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 9 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 7 November 2024.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 31 Oktober 2024.