KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya sejak 2012, Malaysia dikelompokkan antara dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100, hanya skor 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021.

Skor yang rendah itu juga menjadikan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.

BACA: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh lagi, kali ini dari 57 ke tangga 62 pada 2021

Dalam analisis terhadap keputusan terbaharu itu, Transparency International-Malaysia (TI-M) menyenaraikan beberapa faktor dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan itu:

1. Tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan Hak Asasi Manusia di Malaysia.

Sebagai contoh, Akta Pembiayaan Politik yang dijadualkan akan dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini masih belum terlaksana.

Juga, draf Rang Undang-undang IPCMC telah ‘dilonggarkan’ kepada versi yang tidak efektif, dan dijenamakan semula sebagai Rang Undang-undang IPCC.

Yang tragisnya, kes-kes kematian dalam tahanan masih berlaku di lokap polis walaupun selepas RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dijalankan pada tahun 2015.


2. Kurang kehendak dalam memperbaharui SPRM menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen.

3. Tafsiran yang terlalu longgar terhadap Akta Rahsia Rasmi yang membawa kepada kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung.

4. ‘Melepaskan Tanpa Membebaskan’ sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi.

Ia memberikan persepsi negatif tentang perjalanan proses undang-undang di Malaysia. Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara adalah penting dalam mengurangkan persepsi sedemikian.

5. Kemajuan yang terhad dalam kemaskini awam mengenai kes berprofil tinggi seperti kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Skandal Air Sabah dan Kapal Tempur Littoral yang masih tergantung dan tiada khabar selanjutnya.

6. Kekurangan hasil yang boleh diukur dilihat daripada NACP (Pelan Anti-Rasuah Nasional) yang merupakan dokumen komprehensif dengan inisiatif dan sasaran yang jelas.

TI-Malaysia menyeru agar Ketua Setiausaha Negara diberi kuasa untuk memimpin usaha pelaksanaan dan dipertanggungjawabkan dalam memastikan segalanya berjalan lancar.

Namun, malang sekali kemajuan amat terhad dalam hal ini.


7. Penggantungan Parlimen dalam tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan) menyebabkan pakej rangsangan ekonomi yang besar jumlahnya telah diteruskan tanpa perbahasan dan penelitian parlimen.

8. Laporan negatif berterusan mengenai salah laku dan tadbir urus yang lemah pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang kelihatan berulang-ulang namun tidak diambil tindakan tatatertib.

Sudah tiba masanya untuk penggubal undang-undang dari kedua-dua pecahan parti politik untuk menyokong tambahan dalam peruntukan Akta SPRM untuk "Salah Laku Penjawat Awam" untuk memastikan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka.