Keselamatan jalan raya: Wartawan berperanan bantu selamatkan nyawa - Wakil WHO

Wartawan mempunyai kuasa untuk membantu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya menerusi laporan mereka, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Vietnam, Dr Angela Pratt. - Gambar hiasan
HANOI: Wartawan mempunyai kuasa untuk membantu menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya menerusi laporan mereka, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Vietnam, Dr Angela Pratt yang menyeru petugas media untuk memainkan peranan lebih besar dalam mempromosikan aspek keselamatan.
"Kami sentiasa mengatakan bahawa wartawan boleh menyelamatkan lebih banyak nyawa, kerana laporan anda boleh membentuk cara ahli politik dan pembuat dasar berfikir mengenai isu besar seperti keselamatan jalan raya.
"Dan cara ahli politik berfikir mengenai isu-isu berkenaan mempengaruhi penyelesaian yang dilaksanakan," katanya pada sesi penutup Bengkel Pelaporan Keselamatan Jalan Raya untuk Wartawan Asia yang berlangsung selama tiga hari di sini, semalam.
Bengkel anjuran bersama oleh Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) dan WHO di bawah Agenda Keselamatan Jalan Raya Global 2030 itu menghimpunkan 16 wartawan dari Bangladesh, China, India, Malaysia dan Vietnam bagi memperkukuh peranan media dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan jalan raya.
Angela berkata, para peserta diharap akan mengaplikasikan segala pengetahuan yang diperoleh setelah pulang ke negara masing-masing.
"Apabila anda kembali ke negara masing-masing, ambil segala pengetahuan sejak beberapa hari lepas dan bantu kami menterjemahkannya menjadi kisah yang mampu mendorong kepada perubahan," katanya.
Sebagai sebahagian daripada bengkel itu, para peserta melawat Sekolah Rendah Van Phuc di Ha Dong, Hanoi dengan kanak-kanak belajar mengenai keselamatan jalan raya melalui lukisan interaktif dan aktiviti dalam bilik darjah yang direka untuk menjadikan perjalanan ke sekolah lebih selamat dan menyeronokkan.
Mereka juga melawat pusat penyiaran Voice of Vietnam (VOV) yang memantau keadaan trafik di seluruh Hanoi melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Sistem ini membolehkan wartawan menyampaikan maklumat trafik secara masa nyata serta membolehkan penduduk berkongsi maklumat trafik tempatan untuk siaran radio.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


