KUALA LUMPUR: Kerajaan telah melakukan pelbagai langkah untuk memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan pada masa pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk langkah tambahan yang mengutamakan golongan miskin serta yang mengalami kehilangan pendapatan.

Berikut lima perkara penting Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin.

1. Cabaran utama kerajaan dalam mengurus krisis COVID-19 ialah untuk mengimbangi antara keutamaan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup.

2. Langkah kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan PKP pertama pada bulan Mac 2020 telah menyumbang kepada kedudukan ekonomi semasa yang lebih baik.

3. Kerajaan bertekad untuk memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat.

4. Kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi digital kerana menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

5. Perdana Menteri berharap semua penjawat awam memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat dijadikan keutamaan nombor satu dan mempercepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat.