PUTRAJAYA: Inisiatif 'Gelombang Padi" digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan 'pencetus perubahan' bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Turut dilaksanakan adalah usaha memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasa pembekalan input pertanian, dan memperkasa penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.

"Inisiatif ini juga diharap meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2024 kepada warga KPKM di sini hari ini.

"Kita sasar untuk capai 100 peratus kadar sara diri (SSR) beras. Purata pengeluaran beras negara masih tidak mencukupi dengan kadar SSR beras negara hanya 65 peratus (tahun lepas). 35 peratus lagi masih belum mencukupi dan usaha untuk meningkatkan SSR ini perlu dijadikan keutamaan bermula 2024," katanya.

Selain usaha meningkatkan industri padi dan beras, Mohamad berkata KPKM juga akan memberi fokus untuk mengukuhkan industri sedia ada iaitu ayam dan telur, bawang dan nanas tahun ini.

"Produk nanas adalah salah satu produk baharu yang turut boleh diteroka untuk dijadikan sumber kekayaan baharu bagi sektor agromakanan.

"Justeru pada 2024, Malaysia akan memperkenalkan konsep tanaman nanas iaitu 'Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai'.

"Konsep ini memberi penekanan kepada hasil tuaian buah, benih dan sisa nanas yang boleh memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha sebanyak RM37,000 sehektar daripada jualan sisa nanas sahaja," katanya.

Mohamad berkata penekanan kepada agenda Ekonomi Kitaran dalam aktiviti pertanian juga perlu diperkukuhkan seperti penggunaan baja organik dan kaedah pertanian moden yang lebih cekap bagi mengurangkan jumlah sisa bahan kimia daripada racun yang dilepaskan.

"Selain dapat mengelakkan berlakunya pencemaran dan pembaziran, aktiviti nilai tambah ini mampu memberikan pendapatan tambahan kepada pengusaha agromakanan," katanya.

-- BERNAMA