MALAYSIA
Inisiatif Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI terima respons positif syarikat swasta - PM

Anwar (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang STPM 2024, Adam Haris Mohd Fairus (dua, kiri) pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang diperkenal oleh kerajaan mendapat sambutan positif daripada pihak syarikat swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Inisiatif Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI terima sambutan positif daripada syarikat swasta, dengan lebih 1,000 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat melebihi sasaran awal 300 sekolah.
- Program Kampung Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang pembangunan luar bandar, melalui penyediaan kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan raya, internet dan fasiliti komuniti di kampung terpilih.
- Sekolah Angkat MADANI fokus kepada sokongan pendidikan luar bandar, melibatkan kerjasama sektor swasta dalam lima bidang utama: infrastruktur, akademik, latihan guru, bantuan kewangan dan pembangunan sahsiah pelajar.
"Kemudian baru-baru ini juga, saya ada panggil syarikat-syarikat... ambillah sekolah-sekolah sebagai sekolah angkat, jadi setiap syarikat diminta ambil beberapa sekolah, saya sasarkan hanya 300 sekolah tetapi syarikat-syarikat swasta ini apabila diberi gesaan, 1,000 sekolah telah diambil sebagai sekolah angkat termasuk di Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Program Kampung Angkat MADANI adalah inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Ia bertujuan membantu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses Internet dan fasiliti komuniti di kampung-kampung terpilih.
Sekolah Angkat MADANI pula adalah inisiatif yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Program itu membabitkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta untuk memberikan sokongan jangka panjang dalam lima bidang utama iaitu infrastruktur, akademik, latihan guru, bantuan kewangan serta pembangunan sahsiah pelajar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami