KUALA LUMPUR: Empat inisiatif bagi merakyatkan sastera melalui penterjemahan akan dibentang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon pandangan dan kelulusan bagi pelaksanaannya.

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, antara inisiatif itu ialah Penterjemahan dan Penerbitan Karya Sasterawan Negara ke Bahasa Utama Dunia serta Penterjemahan Karya Agung Dunia atau Popular ke dalam Bahasa Melayu.

Selain itu, Penubuhan Pusat Penyelidikan Antarabangsa Karya Sasterawan Negara dalam Terjemahan Pelbagai Bahasa Dunia dan Menjadikan Terjemahan Sastera Sebagai Kegiatan Popular di Peringkat Akar Umbi.

Kenyataan itu menyebut inisiatif tersebut telah dibentang pada sesi pertemuan dan percambahan minda bersama Sasterawan Negara yang dipengerusikan oleh Pengerusi ITBM, Noor Amin Ahmad, di sini, pada Jumaat.

"Pertemuan ini adalah bagi mendapatkan buah fikir serta pandangan daripada Sasterawan Negara yang dihadiri Datuk A. Samad Said, Profesor Emeritus Muhammad Salleh, Datuk Anwar Ridhwan, Datuk Baharuddin Zainal, Datuk Zurinah Hassan, Profesor Datuk Siti Zainon Ismail dan Datuk Rahman Shaari.

"Berdasarkan perbincangan dan perkongsian pandangan dalam sesi pertemuan tersebut, idea merakyatkan sastera melalui penterjemahan menerusi empat inisiatif yang dibentangkan oleh ITBM telah menerima sokongan penuh daripada para Sasterawan Negara yang hadir," menurut kenyataan itu. - BERNAMA