Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pembangunan projek-projek yang dikenal pasti tidak menepati konsep sebenar program itu.

Menurut PAC, walaupun inisiatif itu adalah konsep yang baik, namun konsep PFI yang dimaksudkan sebenarnya tidak diguna pakai dalam pelaksanaannya.

"Pada pandangan PAC, program ini adalah pinjaman kerajaan yang 'off-budget'.

"Pihak swasta pula tidak membiayai kos projek yang dilaksanakan," demikian menurut laporan Jawatankuasa itu mengenai Prosedur Kawalan Pengurusan Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd (PPFI) yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

PPFI yang ditubuhkan pada 2006 merupakan Syarikat Tujuan Khas (Special Purpose Vehicle) (SPV) milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan bertujuan memperoleh dana bagi membiayai projek dan aktiviti yang dikenal pasti oleh kerajaan.

Isu pengurusan PPFI mendapat perhatian apabila tersenarai sebagai antara syarikat kerajaan yang mempunyai liabiliti tertinggi oleh Laporan Ketua Audit Negara 2013 (Siri 3).

PAC dalam laporan itu turut mempersoal mengenai perbelanjaan yang digunakan PPFI serta butiran peruntukan projek yang dibiayai oleh PFI yang tidak dibentangkan dalam Bajet dalam pembentangannya di Parlimen.

"Perbelanjaan off-budget ini boleh menimbulkan keraguan angka-angka yang diterbitkan dalam Bajet dan tidak mencerminkan kedudukan kewangan kerajaan yang sebenar termasuk angka 'contingent liability', pengiraan defisit dan hutang kerajaan," menurut laporan itu.

Ini kerana pinjaman tersebut di bawah Perakaunan Tunai tidak ditunjukkan sebagai liabiliti kerajaan menyebabkan defisit negara kekal pada kadar lingkungan tiga peratus dan hutang pada kadar 54 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), walaupun sebenarnya perbelanjaan dan pinjaman kerajaan adalah lebih tinggi jika pinjaman dan perbelanjaan di bawah PFI diambilkira, kata PAC.

Justeru, bagi tujuan penambahbaikan, PAC mengesyorkan agar peruntukan dan perbelanjaan bagi projek-projek di bawah PFI dibentang dan diluluskan di Parlimen, termasuk segala bentuk perbelanjaan yang 'off-budget' dilaporkan secara telus.

Dalam laporan lain, PAC mendapati terdapat konflik kepentingan dalam pemberian kontrak tender secara rundingan terus kontraktor yang membina penyambungan laluan Express Rail Link (ERL) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke KLIA2 sejauh 2.16km.

Ini memandangkan pemegang saham syarikat kontraktor induk dan pemegang saham utama ERL adalah pihak yang sama.

Menurut laporan itu, kontrak tersebut diberikan secara rundingan terus kepada Syarikat Pembinaan YTL Sdn Bhd (SPYTL) dan Seri Yakin Sdn Bhd (Seri Yakin) oleh Ekspres Rail Link (ERL) selaku agensi pelaksana yang bertanggungjawab melantik kontraktor.

Bagaimanapun, berdasarkan keterangan, didapati pemilik ERL ketika itu adalah YTL Corporation Berhad yang memegang 50 peratus saham diikuti Lembaga Tabung Haji (40 peratus) dan Trisilco Equity Sdn Bhd (10 peratus).

"Berlaku conflict of interest dalam pemberian tender secara rundingan terus kepada kontraktor memandangkan pemegang saham syarikat kontraktor induk dan pemegang saham utama ERL adalah daripada pihak sama," menurut laporan itu.

Justeru, PAC mencadangkan agar kerajaan menyemak secara terperinci supaya sebarang urusan perolehan oleh pihak swasta tidak mempunyai unsur-unsur 'conflict of interest' yang akhirnya melemahkan keputusan kerajaan.