Kepatahan tujuh tulang rusuk pada bahagian kiri belakang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya dikesan ketika proses bedah siasat yang dijalankan pada 18 Disember lalu.

Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood berkata pihaknya tidak mengetahui akan kecederaan berkenaan kerana tidak dimaklumkan ketika di Institut Jantung Negara (IJN).

Saksi ke-27 itu kemudiannya memohon untuk mendapatkan imbasan CT Scan dan X-Ray daripada pegawai penyiasat polis bagi meneliti kecederaan berkenaan sama ada berlaku ketika kejadian atau sepanjang 21 hari menerima rawatan.

“Kecederaan unik itu tidak dilihat ketika saya melakukan pemeriksaan klinikal terhadap mangsa ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, pada 30 November 2018.

“Kami turut tertanya-tanya berkenaan hal ini kerana kami tiada maklumat berkenaannya,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-20 prosiding inkues di Mahkamah Koroner, pada Jumaat.

Ujarnya, kecederaan itu hanya dapat dikenal pasti selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian selepas lima hari bedah siasat dijalankan.

"Ketika melawat lokasi, kami cari punca yang menyebabkan tujuh rusuk belakang patah dan kami periksa FRT lihat apa-apa objek nipis lurus dan menegak.

“Pada ketika itu ada enam kemungkinan iaitu bucu kiri dan kanan jentera FRT serta dua tangga di belakang FRT yang memberi empat kemungkinan penyebab patah tujuh tulang rusuk,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga menafikan kecederaan Muhammad Adib akibat terhimpit antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan juga Van EMRS kerana ia mampu mendorong kecederaan yang lebih parah.

Dr Mohd Shah turut dibawa melihat kenderaan Van EMRS dan mendapati pintu depan kiri EMRS mempunyai bahagian nipis, menegak dan anggaran ketebalan dua milimeter (mm).

“Hanya ketika itu kami berpandangan objek tumpul dan nipis yang sangat bersesuaian dengan patah tujuh rusuk belakang secara menegak.

“Pemeriksaan seterusnya pada bahagian pintu depan kiri iaitu pada kunci pintu (plate).

“Sedikit menonjol dan ini bersesuaian dengan punca calar memanjang abdomen belakang 15 sentimeter (cm),” katanya.

Saksi ke-27 itu turut mengesahkan kepada Mahkamah Koroner bahawa kecederaannya itu tidak membawa petanda akibat dipukul atau diserang dan tiada juga tanda mempertahankan diri pada tangan dan kaki.

“Ia kecederaan sangat unik dan paling unik patah tujuh tulang rusuk belakang dan ini kali pertama saya lihat kes tujuh rusuk patah secara lurus dan menegak,” katanya.