Skip to main content

Dunia

PBB beri amaran krisis kemanusiaan Yaman semakin buruk

Houthi supporters rally to celebrate advances by Houthi forces along the Red Sea coastline, in Sanaa, Yemen, September 18, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Adel Al Khader
Pertempuran di Yaman memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah kritikal di negara Laut Merah itu, dengan puluhan ribu lagi penduduk kini memerlukan bantuan untuk terus hidup, menurut amaran pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada Jumaat. - Gambar Reuters
Advertisement

GENEVA: Pertempuran di Yaman memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah kritikal di negara Laut Merah itu, dengan puluhan ribu lagi penduduk kini memerlukan bantuan untuk terus hidup, menurut amaran pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seramai 22 juta orang, hampir separuh daripada keseluruhan penduduk, bergantung kepada bantuan kemanusiaan, kata Ketua Misi Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) di Yaman Abdusattor Esoev.

“Sumber kami sangat, sangat, sangat terhad dan bekalan kami akan habis tidak lama lagi,” kata Abdusattor.

Krisis itu semakin meruncing “dari jam ke jam”, kata wakil Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) Francesco Galtieri, yang mengendalikan kesihatan seksual dan reproduktif, dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan pada Khamis.

Selama bertahun-tahun, kerajaan memerangi kumpulan Houthi yang menguasai bahagian utara negara itu dan ibu negara Sana'a sejak 2014.

Kumpulan itu menawan pantai Laut Merah di sepanjang Selat Bab al-Mandab yang mempunyai kepentingan strategik pada minggu lepas, manakala pertempuran masih berterusan di daerah pedalaman.

Sekurang-kurangnya 112,000 orang kehilangan tempat tinggal, dengan lebih 100,000 melarikan diri dalam tempoh dua minggu lepas sahaja, kata Abdusattor.

Tidak terkira ramai wanita melarikan diri bersama anak-anak mereka dalam keadaan kehilangan segala harta benda. Ada antara mereka yang melahirkan anak di kawasan terbuka tanpa sebarang bantuan perubatan, menurut wakil IOM itu.

Galtieri menganggarkan 2,000 lagi wanita hamil kini antara mereka yang kehilangan tempat tinggal, dengan kira-kira 200 daripada mereka dijangka melahirkan anak dalam masa terdekat.

Agensi PBB memaklumkan mereka memerlukan lebih banyak dana dengan kadar segera untuk membantu penduduk, sambil menyatakan beberapa program bantuan ketika ini menerima pembiayaan kurang daripada 20 peratus.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement