Skip to main content

Malaysia

Inkues: Jentik telinga pun tidak pernah - Bapa Zara Qairina

51754980207_TBZARA.jpg
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan bawah asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum dilaporkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Advertisement

KOTA KINABALU: Bapa Zara Qairina mendakwa pegawai polis yang menyiasatnya lebih banyak mengemukakan soalan mengenai cara beliau memukul anaknya berbanding kejadian yang menimpa remaja itu.

Mahathir Mohd Hashim, 45, berkata, perkara itu menyebabkan beliau berasa hairan kerana ketika itu anaknya ditemukan tidak sedarkan diri di koridor bawah asrama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufry pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.

Menurut Mahathir, selepas 17 Julai 2025, beliau mula mengetahui mengenai dakwaan kes buli yang dikaitkan dengan kematian anaknya menerusi hantaran di media sosial.

"Setelah 17 haribulan itu, banyak keluar di media sosial, baru saya faham benda ini macam ada kes buli. Saya tidak tahulah, banyak berita tambah itu, begitu, begini.

"Daripada IO (pegawai penyiasat) yang menyiasat saya, tidak pernah ada cerita kes buli kalau dalam pertanyaan, tapi banyak mereka pertanya bagaimana saya memukul Zara," katanya.

Mahathir berkata, berdasarkan ingatannya, beliau disoal siasat oleh seorang pegawai polis dan antara perkara yang paling diingatinya ialah pertanyaan mengenai cara beliau memukul Zara Qairina.

"Saya perasan dan hairan, banyak persoalkan bagaimana saya memukul Zara, cara apa saya pukul Zara. Dalam ingatan saya, anak saya ditemukan di bangunan sekolah, masih dalam siasatan.

"Itulah yang saya ingat, saya rasa masih dalam kepala otak saya, pertanyaan paling pelik itulah saya masih ingat," katanya.

Shahlan yang turut menyatakan rasa terkejutnya dengan pendedahan Mahathir sekali lagi bertanya, apa jawapan bapa remaja itu ketika disoal siasat.

"Jentik telinga pun saya tidak pernah buat, apatah lagi merotan," jelas Mahathir.

Mahathir turut memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan mengenai laporan polis yang dibuat oleh ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat berhubung dakwaan beliau pernah mengugut untuk membunuh.

Katanya, sesi soal siasat bersama pegawai polis tersebut berlangsung kira-kira empat hingga lima jam, bermula sekitar jam 10 pagi hingga 2 atau 3 petang dan hanya mereka berdua berada di dalam bilik berkenaan.

Menurutnya, pegawai polis itu menggunakan komputer riba di bilik polis di bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan untuk menaip jawapannya sebelum beliau diminta menandatangani dokumen selepas selesai sesi berkenaan.

Beliau berkata, kira-kira dua minggu kemudian, dirinya sekali lagi diminta hadir ke Balai Polis Putatan atas permintaan seorang pegawai polis dan Noraidah.

Menurutnya, ketika berada di balai berkenaan, seorang pegawai polis turut memaklumkan bahawa telefon bimbitnya akan diambil dan kemungkinan tidak akan dikembalikan kepadanya.

Katanya, beliau berada di Balai Polis Putatan kira-kira sejam atau lebih dan turut ditanya beberapa soalan oleh seorang pegawai polis wanita yang tidak dapat diingati namanya.

"Ada, tapi saya lupa namanya, dia seperti menyindir saya," dakwanya ketika ditanya sama ada terdapat soalan lain dikemukakan polis kepadanya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, beliau tidak dapat mengingati secara terperinci sindiran berkenaan atau sama ada polis ada memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku kepada Zara Qairina sebelum remaja itu ditemukan di koridor bawah asrama.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Prem Elmer Ganasan mengenai laporan polis berhubung dakwaan ugutan bunuh yang dibuat Noraidah, Mahathir menjelaskan bahawa perkara berkenaan berpunca daripada masalah rumah tangga antara mereka.

"Masalah ini hanya masalah rumah tangga, tapi mengenai mengugut-ugut, saya rasa sudah jauh daripada tidak betul.

"Dan saya faham juga mungkin fikiran Noraidah dalam tekanan emosi," katanya.

Ketika diminta menjelaskan maksud 'ketidaksefahaman di antara saya dan ibu Zara' sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan bertulisnya, Mahathir sekali lagi berkata, ia membabitkan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan perkara berkenaan kerana ia adalah masalah rumah tangga mereka yang tidak sesuai untuk diceritakan.

Dalam keterangannya, Mahathir turut mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui Zara Qairina sebenarnya bersekolah di Papar.

Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili pihak ibu Zara Qairina.

Inkues dikendalikan pasukan pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus, manakala Hakim Koroner ialah Amir Shah Amir Hassan.

Peguam bagi Mahathir ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Prem bersama Datuk Ram Singh dan Joan Goh merupakan peguam yang mewakili pelajar A dikaitkan dengan kematian Zara Qairina, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan bawah asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu dan dilaporkan meninggal dunia keesokan harinya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement