Inkues: Pelajar senior tidak percaya Zara Qairina mencuri

Seorang pelajar senior menyifatkan Allahyarham Zara Qairina sebagai ceria dan suka membantu, serta tidak percaya tuduhan mencuri yang dilemparkan terhadapnya.
KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia tidak percaya terhadap tuduhan kononnya Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri, sebaliknya menggambarkan remaja itu suka membantu rakan-rakannya.
Ringkasan AI
- Seorang pelajar senior menyifatkan Allahyarham Zara Qairina sebagai ceria dan suka membantu, serta tidak percaya tuduhan mencuri yang dilemparkan terhadapnya.
- Saksi mendedahkan wujud budaya memarahi dan menyindir pelajar junior di asrama, termasuk pengalaman pahit semasa sesi MA yang memberi kesan emosi berpanjangan.
- Seorang saksi lain melihat parut menyerupai "kod bar" pada lengan Zara dan membaca diari milik mangsa, menunjukkan kemungkinan tekanan emosi yang dialami sebelum kematian.
"Zara menghormati pelajar senior. Zara tidak pernah mengadu masalah atau tekanan kepada sesiapa. Saksi berkata dia merasakan Zara kurang digemari oleh beberapa pelajar di asrama, kerana ada yang memberi gelaran 'Zara yang problem itu' kerana menuduh Zara mencuri.
"Saksi juga berkata yang dia tidak percaya atas tuduhan Zara mencuri...Saksi mengesahkan tidak mendengar bunyi jatuh atau apa-apa yang ganjil sebelum kejadian pada malam itu," kata Mohd Rizwandean ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.
Mohd Rizwandean berkata saksi turut mendedahkan bahawa budaya memarahi dan memaki pelajar junior oleh pelajar senior, wujud di asrama berkenaan.
Beliau berkata ketika memberikan keterangan, saksi dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam MA (Mesyuarat Aras) iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior.
"Akibat daripada MA itu, saksi sangat terkesan sehingga hari ini kerana pelajar senior kerap menyindirnya, apabila bertemu di kawasan sekolah.
"Saksi berkata, dia pernah disindir oleh pelajar senior kerana merupakan seorang 'Badar' dan sering merampas telefon pelajar lain yang dibawa ke sekolah.
"Mereka menyindir saksi dengan kata-kata 'tu na tu jibam'. Jibam bermaksud 'pe-report' (orang yang suka melaporkan). Saksi buat tidak tahu saja dengan komen mereka," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina, berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-17, berkata dia pernah melihat bekas torehan menyerupai parut "kod bar" pada lengan Zara Qairina, ketika mereka berdua berada di tandas asrama.
Ram berkata saksi yang merupakan pelajar tingkatan 1 di sekolah berkenaan, memaklumkan bahawa parut tersebut ditunjukkan sendiri oleh mangsa.
"Dia (saksi) cakap, dia tidak tahu kenapa. Dia tidak mahu bertanya kenapa, tetapi dia tahu apa itu 'kod bar'.
"Kemudian soalan daripada pihak yang lain, banyakkah? Dia (saksi) cakap, banyak juga... garis-garis banyak jugalah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ram berkata saksi berkenaan juga mengesahkan pernah membaca diari milik Zara dengan kebenaran mangsa, namun kandungan diari itu lebih banyak dikaitkan dengan saksi lain yang akan memberi keterangan kemudian.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung Rabu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami