MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Saksi dedah arwah dipanggil ke dorm lain, nafi tuduhan mencuri - Peguam

Peguam Shahlan Jufri berkata, mahkamah diberitahu sebaik kembali ke biliknya sekitar jam 9 malam, Zara menangis dan menjerit menafikan tuduhan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Saksi pertama, iaitu Pelajar A, memaklumkan kepada Mahkamah Koroner pada prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir hari ini bahawa Allahyarham telah dipanggil ke sebuah dorm lain pada malam 15 Julai lalu untuk disiasat berhubung satu kes kecurian.
Ringkasan AI
- Pelajar A memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina dipanggil ke dorm lain pada malam 15 Julai untuk disiasat berhubung kes kecurian, dan menangis sambil menafikan tuduhan selepas kembali ke biliknya.
- Menurut keterangan, tiada rakan dorm yang cuba menenangkan Zara walaupun kejadian berlaku ketika semua masih belum tidur.
- Keterangan Pelajar A selesai jam 3.30 petang, prosiding akan diteruskan esok dengan saksi kedua ditemani ibunya, manakala dua lagi saksi dijangka dipanggil seterusnya.
"Malangnya, tiada seorang pun rakan dorm yang cuba menenangkan beliau, meskipun ketika itu semua ahli dorm masih belum tidur,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di sini hari ini.
Maklumnya lagi, saksi turut menyatakan selepas insiden itu dia tidak lagi melihat Zara kerana telah masuk tidur.
Dalam pada itu, Shahlan menjelaskan, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan keterangan Pelajar A kerana ia menggambarkan situasi sebenar yang berlaku selepas arwah disiasat.
“Kita tahu, selepas siasatan Zara menangis di lantai biliknya sambil menafikan penglibatan dalam kes kecurian itu. Semua ahli dorm menyaksikan kejadian berkenaan, namun tiada seorang pun tampil untuk menenangkan beliau,” katanya.
Keterangan Pelajar A selesai diberikan kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Prosiding akan bersambung esok dengan saksi kedua yang akan ditemani ibunya sebagai pendamping, manakala pihak pendakwaan dijangka mengemukakan dua lagi saksi seterusnya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya awal pagi pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini yang berpunca daripada kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hiposia iskemia (HIE).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami