Inkues Zara Qairina: Saksi dedah lima siasatan dalaman dibuat pihak sekolah

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). - Gambar fail
KOTA KINABALU: Saksi ke-54 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa terdapat sebanyak lima kali siasatan dalaman dijalankan oleh pihak sekolah selepas pelajar tingkatan satu itu ditemui di bawah bangunan asrama di sekolah menengah agama pada 16 Julai lalu.
Bagaimanapun, Nurul Syahadah Ibrahim, yang merupakan guru di sekolah tersebut berkata, siasatan yang dijalankan mengikut SOP pada awalnya terbatal selepas pihak polis mengambil alih kes berkenaan pada 16 Julai lalu.
Dalam keterangannya, beliau mengaku bahawa Unit Disiplin Sekolah terlibat dalam siasatan dalaman tersebut dan beliau sendiri berperanan sebagai orang yang menemubual pelajar.
"Lima kali (siasatan dalaman dibuat), pada tarikh 16 Julai, 17 Julai, 4 Ogos dan 13 Ogos.
"Siapa yang berkelapangan akan turun menemu bual pelajar kerana kami terikat dengan MMI (Melindungi Masa Instruksional) yang mana setiap guru ada jadual tersendiri dan kami perlu masuk ke kelas pada waktu yang ditetapkan," katanya semasa memberi keterangannya di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Khamis.
Ditanya lanjut oleh pegawai pengendali Mohd Fairuz Johari, saksi menyatakan tiada sesiapa yang mengetuai siasatan tersebut dan ia dikendalikan bersama dengan guru lain selain berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Asalnya, kami mengikuti SOP 137 iaitu hari pertama kami telah bertindak mengambil keterangan pelajar secara lisan dan bertulis. Tetapi SOP ini telah terbatas bila polis ambil alih kes ini pada 16 Julai.
"Kami mengambil keterangan pelajar sekadar untuk simpanan rekod sekolah (untuk tarikh 17 Julai, 4, 5 dan 13 Ogos)," jelasnya.
Saksi kemudian memaklumkan kaedah siasatan dibuat secara temu bual terhadap pelajar dari dua dorm di asrama dan lima pelajar terakhir yang bertemu dengan Allahyarham.
"Selain itu, kami juga telah memanggil beberapa orang murid yang disebut dalam audio dan dikongsikan di media sosial," jelasnya.
Saksi turut mengesahkan adanya laporan bertulis hasil siasatan dalaman yang dijalankan pihak sekolah iaitu melibatkan empat laporan iaitu dua dokumen yang telah dijadikan eksibit dan dua lagu dokumen baharu.
"Dokumen tersebut melibatkan laporan awal pada 16 Julai dan laporan awal pada 17 Julai... Kemudian seterusnya laporan mengenai audio pada tarikh 5 Ogos dan 13 Ogos dan satu lagi 4 Ogos. Laporan 4 Ogos adalah setelah kami mengambil keterangan bertulis beberapa pelajar dorm A35 yang terlibat dengan spot check lokar Arwah," katanya.
Nurul Syahadah juga diminta menjelaskan kenapa laporan bagi tarikh 16 dan 17 Julai disediakan pada hari sama tarikh tersebut manakala laporan tiga lagi tarikh iaitu 4,5 dan 13 Ogos hanya disediakan pada 26 November iaitu Rabu.
"Kerana kami tidak tahu sebelum ini keperluan untuk menyiapkan laporan. Setelah laporan ini diterima pakai dalam mahkamah, kami berinisiatif untuk menyiapkan laporan untuk 4, 5 dan 13 Ogos," jelasnya.
Ditanya mengenai tujuan siasatan dibuat pada tarikh 4 Ogos yang turut dikendalikan saksi bersama beberapa guru lain, beliau menjelaskan bahawa untuk mengenal pasti adakah antara pelajar tersebut yang mengemas kembali barang arwah selepas spot check dijalankan.
"(Siasatan dibuat) secara bertulis dan juga secara temu bual," katanya sambil mengesahkan terdapat enam pelajar yang terlibat untuk siasatan tersebut.
Saksi juga menjelaskan terdapat keterangan lain turut diambil daripada tiga pelajar lain pada tarikh yang sama.
"Ada tiga pelajar dipanggil untuk menceritakan dan melukis kedudukan ketika berlaku soal jawab antara pelajar tingkatan empat dan juga arwah," katanya sambil mengesahkan tiga dokumen melibatkan nama pelajar yang diberitahunya di mahkamah.
Prosiding inkues bersambung pada jam 2 petang dengan saksi yang sama untuk disoal oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk dua pasukan peguam yang mewakili ibu dan bapa Zara Qairina dan dua lagi pasukan peguam mewakili lima pelajar yang dikaitkan dalam kes tersebut.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


