KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan menggunakan teknologi insinerator bagi mengatasi masalah longgokan sampah di Pulau Redang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya dalam mesyuarat beberapa bulan lepas telah membuat keputusan untuk menggunakan sistem insinerator bagi mengantikan kaedah lama, iaitu menggunakan bot pengangkut sampah dari pulau ke daratan.

Beliau berkata semua proses kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) telah selesai dan hanya menunggu untuk kerja-kerja pembinaan fasiliti insinerator yang dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua bulan.

Katanya kajian rintis telah dijalankan di Pulau Redang dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang sudah pun meluluskan satu kawasan untuk digunakan sebagai tempat pengumpulan sampah.

"Isu-isu berkaitan tanah telah selesai... sekarang dalam proses pelaksanaan. Tunggu kontraktor untuk bina fasiliti dalam tempoh sebulan dua lagi," katanya pada program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Seramai 60 penerima APC menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Seri Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil.

Ahmad Samsuri berkata selain menguruskan masalah sampah dengan lebih efisien, penggunaan insinerator secara tidak langsung mampu mengelak pencemaran laut dan kesan buruk kepada hidupan marin.

Justeru katanya kerajaan negeri tidak terlalu memikirkan soal penjimatan kos kerana fokus utama adalah menyelesaikan masalah longgokan sampah yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Semua sisa sampah akan diproses di situ (insinerator Pulau Redang). Tak timbul lagi isu seperti sampah daripada dalam bot jatuh ke laut apabila ditiup angin dan ombak kuat yang akan menyebabkan pencemaran dan beri kesan pada hidupan laut.

"Tetapi kita akan didik pelancong dan penduduk Pulau Redang dengan sistem insinerator ini supaya mereka berdisiplin. Tanpa disiplin, penggunaan teknologi ini tak akan beri apa-apa makna," katanya.

Semalam media melaporkan penduduk Kampung Baru di pulau peranginan itu kian tertekan dengan masalah longgokan sampah yang telah berlarutan selama setahun.

Penduduk menggesa supaya pihak berwajib mengambil tindakan segera demi kesejahteraan orang ramai dan menjaga imej pelancongan negeri.

-- BERNAMA