JAPAN National Institute of Information and Communications Technology (NICT) bersama-sama beberapa institusi lain baru-baru ini telah menetapkan kelajuan penghantaran data yang cukup pantas, pada kadar 402Tb/s menggunakan kabel gentian optik biasa sahaja.

Membentangkan projek ini pada acara Optical Fiber Communication Conference 2024, Japan NICT berjaya menghantar data dengan kelajuan ini pada jarak 50km melalui penggunaan 1505 saluran gentian optik, enam jenis kelengkapan amplifier, dan penggunaan lebar jalur 3THz untuk mendapatkan kelajuan 402Tb/s.

Apa yang lebih menarik ialah kelajuan itu dicapai menggunakan kelengkapan sedia ada, dan tiada apa yang “baharu” dibangunkan untuk ujian ini.

Ia sedikit sebanyak menunjukkan bahawa teknologi sedia ada adalah cukup baik untuk meningkatkan lagi prestasi rangkaian internet untuk tujuan penghantaran data pada kadar yang pantas.

Untuk ini, Japan NICT dilihat menggunakan teknologi wavelength division multiplexed sedia ada, dan perubahan dilakukan untuk memanfaatkan lebar jalur 3THz dan 20THz untuk membolehkan mereka meningkatkan kadar penghantaran data menggunakan kelengkapan sedia ada.

Ini bermakna bahawa untuk syarikat-syarikat telekomunikasi yang mungkin tidak mahu melaburkan wang untuk teknologi penghantaran data yang lebih baru dan mahal, masih terdapat cara untuk mereka memanfaatkan kelengkapan sedia ada untuk meningkatkan lagi kadar penghantaran dan penerimaan data internet.

NICT dilihat akan mempelopori lagi teknologi penggunaan lebar jalur yang jarang digunakan untuk cuba meningkatkan lagi kadar penghantaran data menggunakan komponen dan kelengkapan sedia ada. -Amanz