Skip to main content

Malaysia

3,640 permohonan kewarganegaraan di Sabah masih dalam pertimbangan - KDN

51701228020_TBNASARAH.jpg
Shamsul Anuar berkata bagi pendaftaran lewat kelahiran di Sabah pula, sebanyak 2,659 permohonan telah diluluskan, manakala 611 lagi masih dalam proses. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,640 permohonan kewarganegaraan di Sabah masih dalam proses pertimbangan bagi tempoh 2025 hingga 31 Mei lepas, manakala sebanyak 10 permohonan telah diluluskan dan sijil kewarganegaraan diserahkan kepada pemohon.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi pendaftaran lewat kelahiran di Sabah pula, sebanyak 2,659 permohonan telah diluluskan, manakala 611 lagi masih dalam proses.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited mempercepat keputusan permohonan kewarganegaraan, khususnya pendaftaran lewat kelahiran.

“Kementerian telah menambah baik prosedur operasi standard bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perkara 15 (2) dan Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan, dengan menetapkan tempoh pemprosesan selama setahun bermula daripada tarikh penerimaan dokumen lengkap sehingga keputusan dimuktamadkan.

“Selain itu, bagi pendaftaran lewat kelahiran, permohonan kini boleh diterima di semua pejabat JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) di seluruh negara dan juga melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai langkah mempercepat dan menambah baik proses permohonan kewarganegaraan serta jumlah permohonan yang tertunggak dan diluluskan di Sabah bagi tempoh 2025 dan 2026.

Shamsul Anuar berkata Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat Sabah dijangka bermesyuarat pada hujung Julai atau awal Ogos ini bagi mempertimbangkan 1,018 permohonan.

Selain itu, beliau berkata kuasa membuat keputusan bagi permohonan pendaftaran lewat kelahiran turut diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepat pertimbangan dan penyelesaian kes, di samping memperluas Program MEKAR, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata KDN memperkukuh kerjasama strategik antara JPN dengan kerajaan negeri, pemimpin komuniti, hospital, sekolah, agensi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengenal pasti individu yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri, serta membantu mereka melengkapkan dokumen sokongan.

Shamsul Anuar menjelaskan statistik permohonan yang direkodkan sebagai “lulus” oleh JPN hanya merujuk kepada kes yang sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.

“Permohonan yang telah diluluskan pada peringkat KDN tetapi sijil belum dicetak dan diserahkan masih direkodkan sebagai ‘dalam proses’ dalam sistem JPN,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai kes pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata antara faktor utama kelewatan ialah kurangnya kesedaran ibu bapa atau penjaga untuk mendaftarkan kelahiran dalam tempoh ditetapkan, selain masalah kekeluargaan, kekangan kewangan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement