KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) menggesa penggantungan serta-merta Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) susulan pendedahan isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia.

SICHMA, yang merupakan badan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didakwa Pekemas gagal memantau malah terlibat secara langsung untuk menutup pelbagai salah laku membabitkan rumah penyembelihan haiwan milik Thomas Foods International (TFI).

"Kami menuntut penggantungan serta-merta badan halal SICHMA sehingga siasatan terperinci selesai dijalankan.

"Kegagalan SICHMA sebagai badan halal yang diiktiraf Jakim untuk memantau TFI, malah terlibat secara langsung dalam menutup pelbagai salah laku berkaitan isu halal ini jelas dalam kenyataan media SICHMA bertarikh 12 April 2022, di mana mereka menyangkal dakwaan salah laku dan pelanggaran SOP halal di loji sembelihan yang berbeza selain di TFI.

"Jadi apabila terbukti TFI melanggar SOP, berapa banyak lagi loji di bawah mereka yang turut langgar SOP," kata Presiden Pekemas, Faizan Mohd Noor dalam satu sidang media di ibu negara, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Faizan juga mendakwa terdapat salah laku dan unsur favouritism dalam Jakim terhadap SICHMA, dan mendesak agar siasatan penuh dijalankan terhadap pegawai terlibat.

"Dalam banyak badan pensijilan, mengapa Jakim pilih SICHMA yang jelas tidak ambil berat SOP halal?" katanya lagi.


[TERKINI] Sidang media khas susulan laporan isu integriti Halal Malaysia - Australia


Dalam sidang media tersebut, beberapa rakaman audio yang didakwa menjadi bukti salah laku dan pelanggaran SOP, dimainkan dan media turut diberikan salinan akuan bersumpah (statutory declaration) beberapa pekerja di bawah SICHMA.

Antara yang terkandung dalam akuan bersumpah berkenaan adalah tatacara sembelihan yang tidak mengikut SOP halal dan tiada penyelia di bahagian penyembelihan halal, selain beberapa isu membabitkan hak pekerja.

Sebelum ini, seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia membuat pengakuan dan mendakwa mempunyai bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ yang melanggar protokol, didedahkan Utusan Malaysia.

Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia susulan isu penyembelihan yang meragukan itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Jakim dalam satu kenyataan pada 14 April juga memaklumkan sudah meminta penjelasan daripada SICHMA dan mendapati pusat sembelihan berkenaan mematuhi keperluan standard penyembelihan halal di negara ini.

SICHMA kemudiannya memberikan penjelasan dan menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi itu dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.