Integriti mesti bermula dengan keberanian - Tengku Maimun

Tengku Maimun berkata, integriti tidak terhad kepada ketiadaan rasuah semata-mata, sebaliknya merangkumi kebertanggungjawaban serta keupayaan membuat keputusan berprinsip. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Integriti dalam kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada keberanian untuk membuat keputusan yang betul berlandaskan fakta dan prinsip, meskipun berdepan tekanan atau risiko.
Ringkasan AI
- Integriti dalam kepimpinan harus disertai dengan keberanian membuat keputusan berdasarkan fakta dan prinsip walaupun berdepan tekanan atau risiko, kata Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
- Kepentingan integriti dalam universiti ditekankan sebagai asas kepada kepimpinan yang berwibawa, dengan penekanan terhadap prinsip mendengar dengan sopan, menjawab dengan bijak, dan memutuskan secara saksama.
- Tengku Maimun menegaskan bahawa keputusan pelantikan dan perolehan harus diambil berdasarkan merit dan peraturan, bukannya tekanan luar, kronisme, atau kepentingan sempit, demi memastikan tahap integriti yang tinggi dalam institusi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Kepimpinan dan Sesi Town Hall Universiti Kebangsaan Malaysia: Kelestarian, Integriti & Kecemerlangan Sebagai Teras 2026, pada Khamis.
Menurut Tengku Maimun, prinsip yang digariskan bagi seorang hakim yang baik seperti mendengar dengan sopan, menjawab dengan bijak, menimbang dengan tenang dan memutuskan secara saksama, turut relevan sebagai asas kepada kepimpinan universiti yang berwibawa.
Beliau menegaskan, aspek pelantikan dan perolehan merupakan antara bidang paling sensitif yang menuntut tahap integriti tertinggi, dan sebarang keputusan yang dibuat berdasarkan tekanan luar, kronisme atau kepentingan sempit disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap amanah institusi untuk jangka panjang.
“Perolehan yang dibuat atas dasar arahan, bukannya merit dan peraturan, merupakan penyalahgunaan kuasa, kegagalan akauntabiliti serta membuka ruang kepada ketirisan dan rasuah. Pada saat itu, integriti telah tercemar,” katanya.
Tengku Maimun turut menggariskan enam nilai teras Bangalore Principles of Judicial Conduct iaitu kebebasan, ketidakberpihakan, integriti, kewajaran, kesaksamaan serta kecekapan dan ketekunan, yang menurutnya boleh diadaptasi bagi memperkukuh etika akademik dan tadbir urus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau menjelaskan, integriti bukan sekadar ketiadaan rasuah, sebaliknya merangkumi kompas dalaman atau hati nurani, serta keupayaan bertindak balas secara berprinsip terhadap tekanan luaran sama ada bersifat politik, prejudis atau kepentingan jangka pendek.
Mengimbas pengalamannya sebagai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun berkata, keputusan yang dibuat berasaskan prinsip sering mengundang kritikan dan kecaman, namun ujian sebenar integriti ialah keyakinan bahawa keputusan itu dibuat tanpa konflik batin dan berpandukan alasan yang benar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


