KUALA LUMPUR: Anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menggunakan kamera badan yang dinamakan Body Worn Camera (BWC) ketika memantau kawasan Bazar Ramadan dan Bazar Syawal bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketelusan dalam pelaksanaan tugas.
Menurut DBKL, penggunaan peranti tersebut bertujuan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti.
Advertisement
"Langkah berkenaan juga dapat melindungi keselamatan pegawai penguat kuasa serta orang awam sepanjang operasi dijalankan.
“Rakaman daripada BWC juga boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden, sekali gus membantu mengurangkan pertikaian ketika proses penguatkuasaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DBKL menyatakan, peranti tersebut akan digunakan dalam beberapa situasi termasuk ketika rondaan di kawasan bazar, pemeriksaan lesen peniaga, interaksi dengan orang awam serta semasa tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Tambahnya, pihaknya komited memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, profesional dan berhemah demi kesejahteraan warga kota.