Integriti penjawat awam keutamaan, peranan CUEPACS kekal penting - Abdul Rahman

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, setiap kementerian sudah memiliki struktur kawal selia yang jelas termasuk juruaudit dan pegawai integriti bagi memantau pematuhan tatakelola.- Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bukan sahaja tertumpu kepada memperjuangkan hak penjawat awam, tetapi turut menjadi benteng penting dalam memastikan integriti dalam perkhidmatan kerajaan terus terpelihara.
Ringkasan AI
- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memainkan peranan penting dalam memastikan integriti dalam perkhidmatan kerajaan terus terjaga.
- Setiap kementerian telah dilengkapi dengan struktur kawal selia yang jelas termasuk juruaudit dan pegawai integriti bagi memantau pematuhan tatakelola.
- Meskipun pekerja gig tidak termasuk dalam CUEPACS, kerajaan tetap memberi keutamaan kepada kebajikan mereka serta menegaskan bahawa integriti dalam perkhidmatan awam adalah penting untuk seluruh rakyat negara.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Bagi Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS Ke-30 (Sesi 2025-2028) di WTC Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, meskipun isu integriti tetap wujud dalam skala kecil, penekanan kerajaan khususnya Perdana Menteri terhadap tatakelola memberi kesan besar kepada pengukuhan budaya integriti dalam sektor awam.
“Integriti ini mungkin bukan 100 peratus, tetapi hanya segelintir kes yang berlaku. Dengan penekanan Perdana Menteri terhadap tatakelola, integriti kini menjadi kepentingan utama,” jelasnya.
Abdul Rahman turut menegaskan bahawa Kementerian Sumber Manusia memberi keutamaan kepada pelaksanaan dasar dan pindaan undang-undang yang menyentuh kebajikan pekerja, termasuk pekerja gig.
“Pegawai di kementerian sentiasa membawa kepentingan rakyat. Sebab itu tahun lepas kita meluluskan lapan rang undang-undang dan tahun ini empat lagi, termasuk pindaan Akta Kerja 1955 serta rang undang-undang baharu untuk sektor gig,” katanya.
Beliau menambah bahawa meskipun pekerja gig tidak berada dalam rangkuman CUEPACS, kerajaan tetap melihat kebajikan mereka sebagai keutamaan nasional.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


