KUALA LUMPUR:Pelaksanaan awal Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk pengesanan selain penggabungan teknologi memberi hasil yang lebih baik termasuk mengurangkan penyebaran COVID-19.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Data Universiti Kelantan (UMK), Dr Hasyiya Karimah Adli menjelaskan, pelaksanaannya merangkumi lebih daripada sekadar kawasan bandar yang akan memberikan anggaran keadaan lebih tepat dalam mengesan kes yang disyaki di kawasan luar bandar dan separa bandar.

"Teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) memberikan kepentingan dan signifikan kepada perkembangan ekonomi global.

"IoT boleh memaksimumkan pendigitalan dan mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan.

"Dengan kepintaran buatan kita boleh membuat jangkaan atau ramalan sekiranya ada berlaku gangguan operasi pada mana-mana industri atau kita mahu merawat pesakit atau mengenal pasti atau  meramal sebaran wabak yang akan berlaku di sesuatu tempat," katanya semasa sidang video pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, penggabungan peranti IoT dalam perkhidmatan dan kemudahan penjagaan kesihatan seperti, tempat tidur pesakit dari stesen secara jauh akan memberi lebih kesan kerana dapat meminimumkan hubungan fizikal.

"Dengan analisis data IoT, penyelidik dapat memfokuskan pencegahan COVID-19 dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"AI dapat digunakan untuk meramal sebarang kemungkinan gangguan dalam operasi perkhidmatan perubatan yang mungkin terjadi kerana kekurangan petugas kesihatan.

"Terdapat keperluan untuk AI untuk menguruskan semua peranti IoT dan menukar data menjadi maklumat yang lebih berguna," ujarnya.

Jelasnya, IoT dengan AI yang dikenali sebagai AIoT akan terus mempunyai hubungan sempurna yang memberikan penyelesaian jangka panjang dan manfaat kepada negara secara keseluruhan.