IPOH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh melancarkan Op Selamat ke-20 sempena perayaan Aidilfitri untuk memantau semua jalan utama di dalam daerah Ipoh agar aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pengguna terjamin.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata fokus utama Op Selamat di seluruh negara adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

"Semua jentera IPD Ipoh akan digemblengkan termasuklah elemen balai, kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), polis trafik termasuk risikan dan operasi akan diatur gerak secara sistematik.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ipoh turut akan melancarkan Op Lancar, Op Payung, Op Samseng Jalanan, Op Motosikal, Op Perdagangan, Op Pelbagai dan Op Bersepadu yang turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan sepanjang tempoh musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata Op Lancar juga turut dilakukan di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

"Kita tumpu kepada kawasan hotspot dalam daerah Ipoh yang kita jangkakan berlaku kesesakan lalu lintas ekoran orang ramai pulang ke kampung halaman.

"Pihak polis juga meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa agar tidak terjebak dalam kesesakan di samping patuh kepada undang-undang jalan raya," katanya.

-- BERNAMA