KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Sarawak terus menunjukkan pemulihan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terjejas mencatatkan penurunan berterusan setakat jam 2 petang.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Serian merekodkan penurunan satu mata kepada 173 berbanding 174 pada jam 1 tengah hari.
Bagaimanapun, Serian bersama Samarahan (160), Kuching (159) dan Sri Aman (155) masih berada dalam kategori tidak sihat.
Sementara itu, sebanyak 61 stesen di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.
Bukit Rambai di Melaka merekodkan bacaan tertinggi dalam kategori itu iaitu 89, diikuti Sarikei, Sarawak (87), Bintulu, Sarawak (86) serta Larkin, Johor (85).
Di Lembah Klang, semua stesen kekal mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana dengan Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi iaitu 83.
Ia diikuti Johan Setia (79), Cheras (77), Kuala Selangor (76), Petaling Jaya (74), Batu Muda (72), Putrajaya (71), Klang (70) dan Banting (63).
Dalam pada itu, tiga stesen di Semenanjung kekal dalam kategori baik dengan Besut, Terengganu mencatat bacaan IPU terendah negara iaitu 32.
Langkawi, Kedah merekodkan bacaan 40 manakala Tanah Merah, Kelantan mencatat bacaan 46.
Orang ramai, khususnya penduduk di empat kawasan yang masih terjejas dengan jerebu di Sarawak, dinasihatkan agar terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu, termasuk memakai pelitup muka yang sesuai jika perlu berada di luar bangunan.