ISTANBUL: Iran dilaporkan bersiap sedia melancarkan serangan terhadap tiga lokasi di Ukraine sebelum membatalkan operasi itu selepas Kyiv membuat “permohonan maaf”, kata seorang penasihat kanan ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ali Khamenei pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam wawancara dengan televisyen kerajaan Iran, Mohsen Rezaei berkata angkatan tentera negara itu telah menyelesaikan segala persiapan bagi melancarkan serangan sebelum operasi itu dibatalkan.
Rezaei turut memberi amaran bahawa Iran tidak akan membenarkan mana-mana laluan maritim melalui Selat Hormuz selain laluan yang ditetapkan Tehran, sambil menegaskan bahawa kapal tentera yang dianggap mengancam dan cuba menggunakan “laluan tidak sah” akan menjadi sasaran.
Beliau juga mendakwa Iran menyebabkan kerugian besar kepada tentera Amerika Syarikat (AS) dalam konflik selama 17 hari baru-baru ini, selain serangan peluru berpandu dan dron Iran berjaya menggagalkan objektif ketenteraan Washington.
Kenyataan itu dibuat selepas Iran menuduh Ukraine menyerang sebuah kapal dagangnya di Laut Kaspia pada 25 Julai, menyebabkan seorang anak kapal terbunuh.
Menteri Luar Iran Abbas Araghchi kemudian memberitahu rakan sejawatannya dari Ukraine Andrii Sybiha bahawa Kyiv perlu membayar pampasan kepada Tehran atas kerosakan akibat serangan berkenaan.
Ketegangan di seluruh Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari, sekali gus mencetuskan tindak balas Tehran yang menyasarkan beberapa negara di rantau itu.
-- BERNAMA-ANADOLU