MALAYSIA
Iran hargai sokongan Malaysia sepanjang 12 hari serangan Israel - Duta

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi mengadakan sidang akhbar di kedutaannya hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Iran merakamkan penghargaan mendalam kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas sokongan yang diberikan sepanjang 12 hari serangan Israel ke atas negara itu yang bermula pada 13 Jun, menurut Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi.
Beliau turut berterima kasih kepada Malaysia kerana mengambil pendirian tegas terhadap tindakan Israel yang disifatkannya sebagai jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Sudah tentu, kami berkoordinasi dengan kerajaan Malaysia," katanya kepada media di Kedutaan Iran pada Khamis.
Beliau berkata rakyat Malaysia kini boleh melawat Iran pada bila-bila masa memandangkan keadaan kekal stabil semasa serangan dan terus stabil semasa gencatan senjata ketika ini.Valiollah berkata Presiden Iran Masoud Pezeshkian telah mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa untuk membincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama mempromosikan keamanan dan keselamatan di rantau ini, khususnya di Timur Tengah dan Teluk Parsi.
Ditanya mengenai bentuk kerjasama yang diharapkan Iran dengan Malaysia, duta itu berkata suara Malaysia yang berpengaruh di pentas antarabangsa, khususnya dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh membantu menggerakkan usaha global untuk menghentikan Israel daripada melancarkan serangan selanjutnya, sambil menambah bahawa tanpa tindakan mempertahankan diri Iran, negara lain mungkin menjadi sasaran seterusnya.
Valiollah berkata Iran berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN sebagai blok mesra dan mengembangkan hubungannya dengan rantau itu.
Ketegangan serantau memuncak di Timur Tengah sejak 13 Jun selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran termasuk kemudahan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Konflik itu bertambah buruk apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran di Natanz, Fordow dan Isfahan pada awal 22 Jun.
Pada 24 Jun, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Iran dan Israel telah berkuat kuasa dan menggesa kedua-dua pihak mematuhi perjanjian itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami