TEHRAN: Iran mengalu-alukan tindak balas Hamas menerima cadangan gencatan senjata sekali gus "menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis" di Gaza.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani menyifatkan langkah Hamas itu penting dari segi "kecerdasan politik penentangan" dan gambaran berbeza tentang kejayaannya di medan pertempuran.

“Republik Islam Iran menyokong rancangan yang dibentangkan untuk merealisasikan hak rakyat Palestin termasuk pemberhentian segera dan berterusan serangan dan jenayah oleh rejim Zionis, penghapusan sekatan kejam terhadap Semenanjung Gaza, pembebasan tawanan Palestin, pengunduran lengkap dan tanpa syarat pasukan pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza dan pembinaan semula runtuhan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Selain Iran, Turki turut mengalu-alukan penerimaan Hamas terhadap cadangan gencatan senjata yang dicadangkan oleh perantara Qatar dan Mesir.

Dalam masa sama, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berharap Israel akan melakukan perkara yang sama, menurut laporan oleh Reuters.

Agensi itu berkata Erdogan juga menyeru negara-negara Barat untuk meningkatkan tekanan mereka terhadap Israel.

Pada Isnin, pasukan pejuang Palestin, Hamas mengumumkan persetujuan menerima cadangan gencatan senjata di Gaza yang seperti yang dikemukakan oleh perantara Qatar dan Mesir walaupun Israel berkata cadangan itu tidak memenuhi tuntutannya. - Agensi