KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Pro-Canselor 1 Universiti Geomatika Malaysia (UGM) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 7 Ogos ini hingga 6 Ogos 2025.

WTCKL dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu selaras dengan perlembagaan universiti berkenaan di bawah Seksyen 5.2 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Irmohizam merupakan Pro-Canselor 1 termuda yang pernah dilantik oleh UGM.

"Pelantikan ini adalah bukti impak dan sumbangan cemerlang Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim kepada usaha pembangunan industri Acara Perniagaan (BE) serta sumbangan beliau dalam bidang akademik di Malaysia.

"Datuk Seri Dr Irmohizam telah mencipta nama sebagai rakyat Malaysia pertama menyandang jawatan sebagai Pengerusi Persidangan dan Pameran, Majlis Anggota Penasihat Persatuan Pusat Perdagangan Dunia yang beribu pejabat di New York," menurut kenyataan itu.

Irmohizam merupakan Profesor Adjung di Pusat Pengajian Hospitaliti, Pelancongan dan Acara (SHTE) Taylor's University serta sedang menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) ketiganya dalam Pengurusan dan Pentadbiran dalam skop Pertahanan dengan modul penyelidikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sementara itu, Irmohizam dalam kenyataan sama berkata beliau akan berusaha untuk menyumbang kepada persekitaran pembelajaran yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi memupuk pemikiran kritis, kreatif dan belas kasihan terhadap kemajuan warga UGM.

"Fokus utama saya adalah untuk memupuk persekitaran kecemerlangan dan inovasi dalam pendidikan, penyelidikan dan penglibatan masyarakat. Saya bersama-sama fakulti, kakitangan dan pelajar UGM akan berusaha untuk memperkasakan program akademik dan menggalakkan budaya keterangkuman dan kepelbagaian," katanya.

-- BERNAMA