KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima pengiktirafan "BrandLeadership Award” di atas peranan beliau yang memberi impak dan menyumbang secara signifikan kepada pengembangan dan kejayaan Industri Acara Perniagaan (BE) di Malaysia.

Irmohizam yang juga Protem Presiden Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) diiktiraf atas usaha berterusan beliau untuk memperjuangkan ekonomi acara perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa sebagai Pengerusi Persidangan dan Pameran di World Trade Centers Association (WTCA) yang berpusat di New York.

Selain itu, beliau bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif WTCKL, Yusri Junos juga diiktiraf menerusi anugerah "Nation’s Pride Brand of The Year".

Anugerah tersebut telah disampaikan pada majlis The BrandLaureate Awards Gala Dinner yang diadakan di Hotel Majestic, di sini, semalam.

“Kita mesti kekal tangkas dalam menyesuaikan diri dengan iklim perniagaan semasa dan kita mesti mengambil langkah yang betul untuk menghidupkan semula industri Acara Perniagaan, meningkatkan keterlihatan kita, dan membantu dalam mempercepatkan pertumbuhan sosioekonomi.

“Kini adalah masa yang sesuai untuk kami bersungguh-sungguh menyokong kepentingan industri ini dan secara aktif mempromosikan pertumbuhan Acara Perniagaan, serta melabur dalam modal insan dan teknologi acara baharu” kata Irmohizam.



Pengiktirafan ini menunjukkan kecemerlangan dan dijangka dapat menyumbang kepada rangsangan ekonomi dan aktiviti perindustrian serta secara agresif mempromosikan Malaysia agar dikenali sebagai salah satu hab acara perniagaan di peringkat antarabangsa.

Beliau mengambil alih WTCKL pada 2018 dan setahun selepas itu, Irmohizam mengetuai latihan penjenamaan semula berskala besar yang menggabungkan Garis Panduan Jenama Standard WTCA sekali gus mengubah WTCKL.

Berikutan transformasi dewan yang dinaik taraf, dan pelbagai pengubahsuaian dengan kemudahan tambahan seperti Co-Working Space @WTCKL,

Sebagai Protem Presiden BECM, beliau menggunakan pengalaman luasnya bersama-sama dengan bantuan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) serta pemain industri untuk mewujudkan Piawaian Acara Perniagaan di Malaysia.

Inisiatif itu dirintis untuk memastikan tahap profesionalisme, pematuhan dan piawaian dalam industri kini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Standard Malaysia (JSM).

WTCKL dalam kenyataan media yang dikeluarkan berkata, Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai Piawaian Acara Perniagaan rasmi.

WTCKL merupakan sebuah pusat konvensyen mercu tanda Kuala Lumpur yang penuh dengan sejarah dan terkenal dengan kepelbagaian acaranya.

Pengurusan premis itu sebelum ini, telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Tiga tahun lepas telah menyaksikan industri BE berkembang dengan ketara untuk memenuhi norma baharu kehidupan selepas pandemik.

WTCKL telah diberikan Label Kebersihan dan Keselamatan “Acara Perniagaan Selamat (SafeBE)” oleh Bureau Veritas (M) Sdn Bhd.

Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) melancarkan Program Pensijilan Acara Perniagaan Selamat (SafeBE) untuk memupuk keyakinan orang ramai dan menyokong pemulihan ekonomi negara dalam acara perniagaan.

Pensijilan ini hanya akan diberikan kepada pusat pameran dan konvensyen yang memenuhi SOP ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan cadangan oleh agensi kesihatan Malaysia, dan diaudit secara bebas oleh Bureau Veritas (M) Sdn Bhd.

Akreditasi ini menunjukkan kesungguhan WTCKL menitikberatkan tahap kebersihan dan keselamatan di premisnya.

Selain memanfaatkan rangkaian World Trade Centers, WTCKL juga telah mengambil bahagian dalam pameran terkenal di seluruh dunia seperti IMEX 2022 di Frankfurt dan Incentive Business Travels & Meetings (IBTM) di Barcelona untuk mempromosikan WTCKL secara aktif di seluruh dunia.