KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi penyelamat parti jika membangkitkan desakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mengadakan pemilihan parti dalam masa terdekat.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Achmad Dzariean Mohd Nadzri menegaskan, desakan ahli MT itu juga asas kukuh untuk menentukan barisan baharu parti sebelum berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Apabila isu ini pulih, maka rakyat akan memberi keyakinan kepada UMNO bahawa barisan baharu itu mampu menjadikan parti itu kembali kuat pada masa akan datang.

"Sebelum ini sudah banyak desakan lain bahawa pemilihan perlu disegerakan yang datang dari ketua bahagian, ketua pemuda dan mereka yang yang mempunyai autoriti bercakap," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Tangguh pemilihan punca jajaran baru UMNO,PH - UMNO Gerik

BACA: 
Beri laluan Najib kemudi parti pada PRU15 - Ketua UMNO Kubang Pasu

Sebelum ini timbul desas-desus Ismail Sabri mampu menyelamatkan parti jika mampu mendesak Ahli MT mengadakan pemilihan tahun ini.

Dalam pada itu Achmad Dzariean menjelaskan, pemilihan UMNO wajar dilakukan secepat mungkin kerana tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

"Parti sedang berhadapan masalah hala tuju kerana secara dasarnya perwakilan UMNO telah menetapkan penegasan bahawa tidak ada sebarang bentuk kerjasama antara UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

"Ia juga telah menjadi usul dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini namun masalah mula timbul apabila rakaman audio yang dikatakan melibatkan pimpinan parti serta PKR tersebar.

"Timbul persoalan adakah selama hari ini penjajajran baharu yang disebut Ahmad Zahid itu bermaksud bahawa satu kerjasama ingin diwujudkan dengan Anwar dan DAP walaupun Presiden menyedari ia telah menjadi ketetapan dan syarat ahli di bawah yang tidak mahu kerjasama tersebut," tegasnya.

Soalnya, pada masa ini, adakah Ahmad Zahid sendiri sudah melanggar amanat tersebut jika rakaman audio yang tersebar itu benar-benar asli.

Sebelum ini, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim menegaskan, penangguhan Pemilihan UMNO akan menjadi antara punca parti menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15 nanti.

Katanya, pelbagai perkara boleh berlaku dalam politik termasuk pemilihan pemimpin serta gabungan kerajaan yang akan memerintah.

Sebelum ini, desas-desus Mesyuarat MT UMNO dijangka berlangsung hujung minggu ini yang dikatakan menjadi penentu kelangsungan parti itu menjelang PRU15.

Ahmad Zahid juga difahamkan akan menangguhkan pemilihan parti itu semaksima sehingga 18 bulan.

Jika pemilihan UMNO ditangguhkan, pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PN dan PH tidak mustahil berlaku.