KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi supaya pemilik Agenda Daily Media Enterprise memadamkan artikel didakwa memfitnah perdana menteri yang diterbitkan oleh portal berita berkenaan, sehingga kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.

Peguam Joshua Tan yang mewakili perdana menteri berkata Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membenarkan permohonan Ismail Sabri selaku plaintif dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini dan turut disertai peguam Asiah Abd Jalil, yang mewakili Muhamad Izwan Mohd Zubit sebagai defendan.

Menurut Tan, melalui perintah injunksi kedua-dua belah pihak (inter-parte) itu, perdana menteri berjaya mendapatkan perintah agar defendan memadamkan artikel bertajuk 'Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, 'rayu' jangan tarik sokongan' di Agenda Daily atau laman web lain yang dikendalikan oleh defendan, dan defendan juga dihalang untuk membuat kenyataan serupa di laman web Agenda Daily.

"Permohonan injunksi itu dibenarkan tanpa sebarang kos. Mahkamah juga menetapkan 26 Ogos untuk pengurusan kes," kata Tan ketika dihubungi Bernama.

Pada 18 Feb lepas, Ismail Sabri berjaya mendapatkan perintah sama melalui permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak).

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri selaku plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel berkenaan dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkaitan plaintif.

Ahli Parlimen Bera itu mendakwa artikel berkenaan antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung dalam artikel tersebut boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Sementara itu, Muhamad Izwan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman web berkaitan Ismail Sabri selain menafikan artikel berkenaan mengandungi kenyataan bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif.

Ismail Sabri ketika menjawab pembelaan defendan, menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi perdana menteri.

-- BERNAMA