MALAYSIA
Ismail Sabri tidak hasrat cabar permohonan SPRM lucut hak wang lebih RM169 juta

Mahadi berkata kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mahadi berkata kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lepas kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.
"Pihak kami memohon supaya satu warta pihak ketiga di bawah Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009 dikeluarkan untuk permohonan ini dan kami akan cuba untuk menyegerakan proses tersebut," katanya.Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri dan Mohammad Anuar mengesahkan kandungan surat berkenaan.
Suzana kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang tunai berkenaan dan menetapkan 1 Okt depan untuk sebutan lanjut.
"Saya benarkan warta dikeluarkan kepada pihak ketiga sekiranya pihak berkenaan ada kepentingan terhadap harta-harta yang disenaraikan. Saya kekalkan tarikh bicara (untuk pihak ketiga hadir di mahkamah) pada 1 Okt depan," katanya.
Amer Hamzah turut memohon supaya kehadiran kedua-dua responden dikecualikan pada tarikh itu dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Dalam pada itu, Mahadi ketika dihubungi Bernama berkata sekiranya tiada pihak ketiga hadir pada prosiding 1 Okt, wang berkenaan (RM169 juta) akan dilucutkan hak kepada kerajaan.
Pada 7 Julai lepas, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri, yang disita daripada Mohammad Anuar kepada kerajaan Malaysia.
Jumlah itu meliputi RM14,772,150; SG$6,132,350; US$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBPGBP50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat' hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami