SHAH ALAM: Isteri Tan Sri Musa Hassan menafikan telah menyebarkan video berhubung pertelingkahannya dengan bekas Ketua Polis Negara itu, baru-baru ini.

Suri rumah, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, ini kerana rakaman itu telah diserahkan lebih awal kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran video dan lain-lain rakaman TikTok di media sosial selain komentar terhadapnya.

"Saya turut mengecam penyebaran rakaman video itu kerana telah mendedahkan wajah anak saya yang masih kecil.

"Telefon bimbit mengandungi video tersebut telah diserahkan kepada polis, jadi saya tidak pasti sama ada ia tersebar kerana orang dalaman atau tidak," katanya ketika ditemui selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Elly Afizahwati berkata, beliau hanya mengetahui penularan video itu buat pertama kali menerusi aplikasi TikTok selepas dimaklumkan oleh adiknya.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk siasatan lanjut pada Rabu.

Sebelum ini, beliau telah mengambil pendirian untuk berdiam diri dan tidak mengulas termasuk membalas kenyataan oleh Musa kerana terdapat rundingan penyelesaian berkenaan.

"Tiada niat untuk menjadikan rakaman itu tular apatah lagi menjatuhkan reputasi mana-mana pihak kerana rakaman itu tidak lebih kepada melindungi diri saya dan menjadi bukti yang boleh digunakan di Mahkamah Syariah kelak.

"Ekoran penyebaran video itu, saya telah dipanggil memberi keterangan di IPK Kuala Lumpur pada 1 Mac lalu, malah saya membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan yang berlaku sebelum ini," katanya.

Krisis rumah tangga Musa kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai pada Khamis.

Elly Afizahwati mengemukakan permohonan cerai berkenaan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun.

Malah katanya, mereka tidak lagi tinggal sebumbung bermula enam bulan lalu.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal bulan ini. -Sinar Harian