MELAKA: Seorang mutawif menerima hasrat isterinya untuk meminang isteri kedua sebelum majlis pernikahan mereka diadakan di sebuah masjid pada 24 Disember lalu.

Mohd Loqman Mohd Salleh, 38, dari Kampung Kolam Limbongan, berkata, isteri keduanya merupakan sahabat kepada isteri pertama dan mereka telah lama berkawan baik.

Menurutnya, biarpun pada awalnya ia merupakan perancangan isteri pertama, namun hasrat untuk berpoligami perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu daripadanya.

Katanya, selama 12 tahun melayari perkahwinan dengan isteri pertama Mohd Loqman mengakui bahagia malah mereka juga dikurniakan tiga orang cahaya mata berusia 11 hingga empat tahun.

"Nasihat saya kepada lelaki yang ingin berpoligami bercakap benar, insya-Allah akan kekal hingga ke Jannah," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Tambahnya, pada majlis akad nikah itu isteri pertama turut hadir mengenakan jubah berwarna putih sedondon dengan isteri kedua.

"Ini pernikahan bukan kerana saya sahaja, namun meraikan juga isteri pertama menyambut kehadiran madu dengan memberi laluan buat madu berkongsi kebahagiaan bersama," katanya lagi.

Mohd Loqman yang juga merupakan perawat Islam berkata, dia menerima banyak ucapan tahniah setelah memuat naik hantaran dan beberapa keping gambar perkahwinan bersama kedua-dua isteri di akaun media sosial, Facebook.

Selain itu hantaran tersebut juga telah dikongsi lebih 200 pengguna. - Sinar Harian