SIK:Seorang suami tergamak melibatkan isterinya yang sedang sarat mengandung enam bulan dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pasangan itu bukan sekadar positif dadah, malah mereka juga ditahan bersama sejumlah barang larangan itu ketika sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Jeniang - Sik, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, wanita berusia 24 tahun itu dan suaminya yang berumur 37 tahun dipercayai pengedar dadah ditahan ketika menaiki kereta mewah sekitar pukul 1 tengah hari.

Menurut beliau, anggota bertugas pada mulanya meminta lesen memandu lelaki itu dan mendapatinya palsu.

Bahkan, kata Abdull Razak, cukai jalan di kenderaan yang dipandu suspek juga bukan asli.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepaket plastik berisi syabu seberat 51 gram dan plastik berisi tujuh pil disyaki yaba seberat satu gram dalam beg silang suspek lelaki.

“Selain itu terdapat satu paket plastik berisi dadah disyaki syabu seberat satu gram di tempat letak minuman bahagian tengah kereta,” kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Antara dadah yang dirampas oleh polis daripada pasangan suami isteri itu ketika sekatan jalan raya di Jalan Jeniang - Sik pada Khamis. - Gambar PDRM

Abdull Razak berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan RM5,200.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati pasangan itu positif dadah jenis Methamphetamine.

Pasangan tersebut, ujar beliau, mengaku dalam perjalanan pulang ke rumah di Perlis dari rumah keluarga di Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, suspek lelaki mengaku dia singgah untuk mendapatkan bekalan dadah di Rantau Panjang, Kelantan,

Semakan rekod mendapati suspek lelaki dibebaskan dari penjara pada tahun 2018 dan pernah dikenakan hukuman sebat kerana kesalahan mengedar dadah.

Katanya, pasangan itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 108 (3) (e) dan 108 (3)(g) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menggunakan lesen dan cukai perjalanan palsu.