Isteri Sarjan Norihan cerita detik terima berita suaminya ditembak

Adie Sufian Zulkefli
Disember 9, 2020 10:06 MYT
Sebaik tiba di Hospital Tuanku Fauziah, di Kangar Fardilla tidak dibenarkan untuk melawat kerana perlu menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu. - Gambar Fail
"SEBAIK menerima panggilan memaklumkan suami saya ditembak hanya satu berada dalam fikiran saya adakah dia selamat dan saya ingin segera ke Perlis untuk bertemu dengannya," itu luahan Fardilla Adam, 35 ketika melalui detik cemas sebaik sahaja menerima perkhabaran suaminya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera dalam kejadian tembakan di pos TS9 dekat Padang Besar, Perlis 24 November lalu.
Pada malam kejadian Fardilla tidak dapat tidur dan perasaan gelisah sehingga ke awal pagi, namun panggilan telefon dari bapa mertuanya pada jam 6 pagi amat mengejutkan.
"Saya rasa macam pelik sebab bapa mertua saya call pukul 6 pagi dan dia tanya sama ada sudah dengar berita atau tidak.
"Saya tanya berita apa tetapi line sangkut, tapi selepas itu dia tanya lagi sama ada saya sudah mendapat khabar suami kena tembak.
"Dengar berita itu, saya macam tidak tahu nak cakap apa, tangan kaki dan tangan saya sejuk, saya dengar bapa mertua saya menangis," kata Fardilla.
BACA: Sarjan Norihan Tari mula jalani rawatan fisioterapi
BACA: Sarjan Norihan dipindahkan ke wad biasa, kesihatan bertambah baik
Fardilla segera mendapatkan ibunya yang berada di sebelah rumah lalu memaklumkan Norihan ditembak.
Dia juga mengejutkan dua anaknya yang berusia 7 dan 8 tahun lalu memaklumkan bapa mereka ditembak.
Sejurus kemudian bapa Fardilla terus meminta mereka bersiap untuk ke Kangar.
Sebaik tiba di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Fardilla tidak dibenarkan untuk melawat kerana perlu menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.
Katanya setelah mendapat keputusan dia segera ke wad Rawatan Rapi untuk bertemu dengan suaminya.
"Dia orang bagi tengok suami tetapi masa itu dia pun tak sedar, saya cakap dalam hati "kalau boleh tu awak bangun lah awak kuat lah" saya cakap macam tu
"Bila saya kejutkan, dia buka mata sikit, doktor cakap dia dengar tetapi dia mengantuk sebab ubat.
"Esok bila kami nak jumpa untuk kali kedua, doktor pulak tak bagi," katanya.
Kemudian Fardilla dimaklumkan Norihan terpaksa dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk membuang peluru di dalam perutnya.
Dia bersyukur kerana pembedahan itu berjaya dan kini masih tinggal dua lagi peluru di dalam badan Norihan yang akan dibuang secara berperingkat.
Kini, keadaan Norihan telah beransur sembuh dan dia sudah boleh berjalan dan makan dengan sempurna.
Fardilla memaklumkan Norihan perlu ke Hospital Pulau Pinang pada 11 Disember ini untuk pemeriksaan lanjutan dan menentukan pembedahan seterusnya bagi membuang sebutir peluru yang kini masih tertanam di dalam perutnya.
Sarjan Norihan mula menganggotai PDRM pada Julai 2003.
Seterusnya sebagai seorang isteri kepada anggota PDRM, Fardilla reda dan terima apa jua ketentuan bila mana Norihan akan kembali ke dalam Batalion 3 dan meneruskan tanggungjawabnya pada negara.
"Saya ikut pada semangat dia jugak lah, dia nak berkerja saya sokong dia lah sebab itu dah pilihan dia, saya cuma sokong dari belakang, daripada awal saya kahwin dengan dia pun dah nekad," katanya.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi 24 November lalu, Sarjan Norihan Tari dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan ketika bertempur dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di bahagian perut manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dia dihantar ke hospital.
#Fardilla Adam #Norihan Tari #PDRM #padang besar #Perlis #PGA #tembak