awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Gunung berapi di Kamchatka hambur abu setinggi 11.5km, amaran merah dikeluarkan
JKR Kelantan kesan tiga projek sakit
Kerajaan teliti pinda akta tertentu perketat hukuman kes curi kabel - Saifuddin Nasution
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Istiadat menjunjung duli lambang kesinambungan sistem beraja Pahang

Bernama
Bernama
03/02/2026
13:30 MYT
Istiadat menjunjung duli lambang kesinambungan sistem beraja Pahang
Al-Sultan Abdullah bertitah menjadi tanggungjawab utama individu yang dilantik memelihara warisan, adat dan adab serta kesejahteraan rakyat jelata. - Gambar Bernama
KUANTAN: Meskipun zaman silih berganti dan dunia mengalami pelbagai perubahan, institusi diraja Pahang kekal mengamalkan warisan serta adat dalam memastikan kesinambungan sistem beraja yang telah berusia 556 tahun, terus dipelihara.

Ringkasan AI
  • Institusi diraja Pahang mengekalkan warisan dan adat istiadat untuk memastikan kesinambungan sistem beraja yang telah berusia 556 tahun.
  • Amalan adat dan nilai adab diwarisi turun-temurun membantu mengekalkan hubungan erat antara raja dengan rakyat Pahang.
  • Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan penyelenggaraan istiadat menjunjung duli sebagai tanggungjawab utama individu yang dilantik.

Amalan adat dan nilai adab yang diwarisi turun-temurun termasuk istiadat menjunjung duli bukan sahaja mencerminkan identiti negeri, tetapi turut menjadi asas kepada hubungan erat antara raja dengan rakyat yang terus dipertahankan hingga hari ini.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menerusi sejarah, istiadat menjunjung duli ini ialah upacara ketika Orang Besar dari seluruh pelosok negeri termasuk yang jauh di Lipis dan Jerantut menyembah Sultan terdahulu dengan adanya pelbagai persembahan serta buah tangan.
"Ia merupakan satu istiadat memberikan penghormatan tertinggi dan taat setia kepada Sultan yang memerintah. Saya bersyukur dan terharu kerana hari ini kita dapat laksanakan dengan sempurna oleh semua pihak.
"Istiadat menjunjung duli hari ini sudah saya titahkan untuk diringkaskan, kalau ikut zaman dahulu lagi panjang, namun jadikan majlis ini sesuatu yang kita sama-sama boleh hargai dengan adanya sistem raja berpelembagaan," titah baginda yang turut memaklumkan sistem beraja di Pahang telah bermula sejak 1470.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Menjunjung Duli Kerabat-Kerabat Bergelar serta Orang-Orang Besar Pahang yang berlangsung di Balai Mahkota Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Istiadat menjunjung duli kali terakhir diadakan pada 2019, iaitu semasa pemasyhuran Tengku Mahkota Pahang.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang ke-34 bertitah menjadi tanggungjawab utama individu yang dilantik memelihara warisan, adat dan adab serta kesejahteraan rakyat jelata.
"Orang Besar yang dilantik juga tertakluk kepada perkara yang dibolehkan dan tidak dibolehkan. Saya, selaku raja pemerintah, menganggap setiap mereka yang diberi jawatan dari segi politik atau istana harus bersama dan mendukung titah perintah raja pemerintah serta bakal pengganti saya," titah Sultan Pahang.
Menerusi titah diraja itu, baginda turut memaklumkan lantikan Orang Besar dibuat mengikut tempoh tertentu selaras dengan tuntutan zaman dan keperluan pentadbiran serta boleh disambung atau ditamatkan tertakluk kepada perkenan raja.
Pada istiadat itu, tiga putera Sultan Pahang dikurniakan gelaran Kerabat Bergelar, iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.
Antara individu lain yang menerima lantikan ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman sebagai Orang Besar Enam Belas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Wan Samsul Effendi Wan Mahmud pula dikurniakan jawatan Orang Besar Istana.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#JBPM
#sistem beraja
#taat setia
#buah tangan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan