SHAH ALAM: Istilah ‘payung emas’ yang akan diperolehi wanita sekiranya membenarkan suaminya berpoligami berikutan ia sunnah Rasulullah SAW merupakan hadis palsu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu.

“Begitu juga dengan poligami.

"Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.

“Hukum poligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.

"Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

“Berbincang dengan baik, beri nasihat dan pandangan demi mengelakkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan anak-anak,” katanya dipetik dari laman Twitter pada Selasa.



Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikatakan sunnah Rasulullah.

Zulkifli berkata, sikap sebagai Muslim adalah tidak menentang sebarang syariat ALLAH SWT dalam keadaan tertentu mengikut keperluan yang sudah pasti ada hikmahnya.

Namun katanya, sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu sehingga mengabaikan hak-hak lain seharusnya ditolak.

ARTIKEL DISIARKAN DI SINAR HARIAN