Dewan Rakyat kecoh hampir sejam selepas Ahli Parlimen pembangkang mendesak Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menarik balik perkataan “rompak” yang didakwa digunakan semasa mengeluarkan kenyataan mengenai wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Usul menuntut Guan Eng diambil tindakan sebelum itu dibuat Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Bagaimanapun, usul berkenaan ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kerana kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng tidak mempunyai unsur provokasi dan tidak mengelirukan.

“Pada Isnin, 15 Julai 2019, saya telah menerima satu usul di bawah pemberitahuan mesyuarat 36 Fasal 2 daripada YB Bera bagi merujuk Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng).

"Berdasarkan usul itu, pada hemat saya maksud YB Bera ialah ingin merujuk terus kepada peraturan mesyuarat 36 (12). YB Bagan ada mengeluarkan perkataan yang mengelirukan dewan.

“Saya telah meneliti ucapan YB Bagan pada Ogos 2018, dan isi kandungan laporan jawatankuasa PAC mengenai “kegagalan memasukkan kutipan GST ke dalam Kumpulan Wang bagi pembayaran balik GST khususnya perenggan 5.1.1 hingga 5.1.5. mengenai Kemampuan kerajaan untuk membayar RM19.4 bilion dan pengurusan aliran wang negara.

“Penjelasan Akauntan Negara, keseluruhan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara), maka saya dapati tidak terdapat unsur provokasi YB Bagan yang dikatakan mengelirukan dewan dan oleh itu tidak terjatuh di bawah peraturan mesyuarat 36 fasal 12,” katanya di Dewan Rakyat.

Susulan keputusan itu, kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang bangun dan membantah.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut menyelit dan menyokong keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menegaskan “rompakan” memang berlaku.

Kenyataan itu sekali gus memarakkan lagi kemarahan Ahli Parlimen pembangkang.

Mohamad Ariff kemudian mengesyorkan Ahli Parlimen pembangkang yang berang mengemukakan usul melibatkan laporan PAC yang lebih menyeluruh.

“Dalam keputusan saya buat tadi saya dah rujuk kepada semua bahagian yang relevan. Yang diajukan pada saya hanya satu ayat dalam perenggan,” ujar Mohamad Ariff lagi.

Selain Ismail Sabri, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa terus mendesak Guan Eng menjadi ‘anak jantan’ dan tampil menarik balik perkataan “rompak”.

Bagaimanapun, usaha berkenaan tetap gagal sehingga lebih setengah jam menyebabkan ketegangan berlaku.


Sejurus kemudian, kebanyakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan.

Tidak lama kemudian, sidang dewan kembali diteruskan dan kebanyakan Ahli Parlimen terlibat masuk ke dewan semula.

BACA: Takrifan 'rompak' tidak perlu didebatkan - Guan Eng