Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A Kadir Jasin diminta membetulkan fakta terhadap Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee di dalam catatan terbaharu di blognya mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tegas Syed Ali, dia masih belum nyanyuk dan meneliti setiap butir isu yang diucap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa perjumpaan bersama ketua bahagian parti di PWTC baru-baru ini.

"Jangan buat andaian, saya ada masa itu sehingga selesai majlis dan akan mempertahankan parti demi kebenaran.

"Kadir, aku belum pekak lagi, kalau tidak percaya pergi tanya ketua bahagian lain adakah Najib ada sebut isu suntikan RM900 juta itu kepada 1MDB tempoh hari.

"Ini pelaburan kerajaan, tidak ada kena mengena dengan UMNO langsung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Ali mengulas catatan terbaharu Kadir yang mempertikaikan kenyataannya mengenai bantuan kewangan RM900 juta kepada 1MDB yang dibangkitkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Di dalam blognya juga, Kadir turut menggesa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak terus membisu dalam isu melibatkan 1MDB.

Kadir turut mencabar anggota kabinet yang celik ekonomi supaya bercakap benar dalam isu sekitar syarikat pelaburan negara itu.

Kadir turut melemparkan pertanyaan apakah Najib tidak menyebut isu itu semasa perjumpaan bersama ketua bahagian baru-baru ini atau Syed Ali sendiri yang tidak menyedarinya.

Dalam pada itu kata Syed Ali, Kadir diminta memahami isu peruntukan tambahan hanya boleh diumum semasa perjumpaan Najib bersama menteri kebinet dan bukan pada majlis perjumpaan parti.

"Kenapa Najib hendak maklum semasa perjumpaan bersama ketua bahagian, itu bukan duit parti, kalau isu itu harusnya dibincangkan di Kabinet.

"Saya nafikan kenyataan Rafizi, dia telefon siapa pun kita tidak tahu, kalau Rafizi berani dia dedahkan siapa ketua bahagian yang dia hubungi atau ada pengakuan dari ketua bahagian lain...sehingga kini tidak ada lagi," jelasnya.

Tambahnya, tidak timbul isu perbincangan sehala seperti yang didakwa sesetengah pihak kerana Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzil sudah membuka ruang untuk soalan namun tidak ada yang mahu bertanya.

"Jadi Musa tutup sesi soal jawab, tidak ada satu soalan dan semua menyatakan sokongan kepada Najib.

"Kadir dan Rafizi tidak ada di dalam perjumpaan itu, jadi seharusnya mereka tidak perlu cakap apa-apa lagi," ujarnya.

Katanya Syed Ali lagi, dia bukan ahli politik yang 'mencari makan' dengan mengampu dalam kehidupan.

"Kalau betul kita cakap, kalau tidak betul kita nafikan. Berkata benarlah walaupun ia pahit," jelasnya.

Pada Sabtu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu, 1MDB telah menggunakan sejumlah RM600 juta daripada RM950 juta yang disediakan oleh kerajaan sebagai kredit tersedia sementara sebelum syarikat itu melancarkan IPO.

Katanya, 1MDB dijangka pulih daripada masalah aliran tunai yang dihadapi ketika ini pada penghujung tahun 2015.