KOTA BHARU: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM521.2 juta kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk Tempoh Operasi Keempat (OP4) dan Tempoh Operasi Kelima (OP5) iaitu dari 2021 hingga 2024.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pada masa ini, permintaan air di Kelantan menunjukkan defisit sebanyak 61.1 juta liter sehari (JLH).

Beliau berkata ia berikutan situasi bekalan air di negeri ini yang mempunyai 41 loji rawatan air tetapi hanya menghasilkan bekalan air sebanyak 525.9 JLH sedangkan permintaannya sebanyak 587 JLH.

"SPAN menyarankan supaya AKSB menggunakan sistem rawatan air dan produk perkhidmatan bekalan air yang telah diluluskan SPAN.

"Ini kerana sistem dan produk sedia ada itu telah terbukti keberkesanannya serta diperakui Badan Perakuan yang bertauliah," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Bagi Meninjau Situasi Pengoperasian Loji Rawatan Air Kampung Telok, di sini hari ini.

Terdahulu Akmal Nasrullah turut mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Medan Telaga Kampung Tok Jaafar, di sini bertujuan memahami secara terperinci masalah bekalan air yang dihadapi Kelantan.

Menurutnya antara masalah bekalan air dikenal pasti semasa tinjauan itu ialah pembinaan dan pembaharuan aset bekalan air tidak seiring dengan pertumbuhan pembangunan sumber, selain air tidak stabil dari segi kuantiti dan kualiti, tiada rizab margin menyebabkan masalah gangguan bekalan air atau tekanan air rendah serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi iaitu 53.7 peratus.

"Beberapa langkah penyelesaian telah dilakukan iaitu SPAN menubuhkan Pasukan Petugas Bekalan Air Kelantan untuk pemantauan lebih rapi ke atas pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), serta pelaksanaan projek sumber dan bekalan air, pemantapan program pengurangan kadar NRW, dan pematuhan indikator kualiti air oleh AKSB bagi meningkatkan rizab margin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Akmal Nasrullah berkata kementerian tersebut akan menilai secara menyeluruh projek pembinaan alur limpah di kawasan benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bagi mengatasi masalah banjir.

"Pihak kami perlu membincangkan kaedah yang sesuai untuk memastikan projek berkenaan dapat disegerakan.

"Mungkin projek ini mengambil masa selain ada beberapa perkara yang perlu diteliti bagi menyegerakannya sebagaimana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

-- BERNAMA