Ugutan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memotong dana bantuan kepada negara-negara yang menyokong pembatalan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, tidak beri ancaman besar kepada Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri itu, tidak banyak bantuan sebenarnya yang Malaysia terima daripada negara tersebut.

Malah, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga turut dilihat sebagai ‘negara pemberi’, iaitu antara negara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Amerika.

"Demi kepentingan mempertahankan Baitulmaqdis, kita tak pernah rasa khuatir jika mana-mana negara sekali pun (mahu) melakukan tindakan diplomatik atau sebaliknya termasuk mengambil nama…kerana kesucian Baitulmaqdis harus diutamakan.

"Tetapi hubungan pertahanan, hubungan keselamatan, dan hubungan perdagangan, pada hemat saya, harus diasingkan sepenuhnya daripada soal isu Baitulmaqdis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang pencetakan pasport Malaysia milik Datasonic Group Bhd, di sini hari ini.

Sebelum ini, Trump membuat kenyataan demikian pada satu sidang media di White House.

"Biarkan mereka mengundi menentang Amerika, kita akan menjimatkan wang, saya tidak peduli," kata Trump dalam satu sidang media di White House.

Kenyataan keras ini dibuat menjelang pengundian di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) berhubung resolusi mengenai status Baitulmaqdis pada Khamis.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa pendirian tegas Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan isu Palestin tidak akan menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan Amerika Syarikat.

“Kita harus membezakan hubungan diplomatik, hubungan perdagangan, dan lain-lain jaringan hubungan kerana ini persoalan yang sangat spesifik iaitu isu Baitulmaqdis

“Dan kami faham pihak AS cukup bijaksana untuk mengasingkan isu Baitulmaqdis dengan isu-isu lain,” katanya lagi.