GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika melancarkan pelan tindak balas bersama berhubung wabak Ebola pada Jumaat, yang memerlukan dana sebanyak AS$518 juta bagi membendung penularan pantas wabak itu di Congo serta mengelakkannya daripada terus merebak ke wilayah lain.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang bercakap selepas pulang dari pusat penularan wabak berkenaan di Wilayah Ituri berkata, pasukan penyelamat masih "ketinggalan" dalam usaha mengekang virus itu yang terus merebak, lapor Anadolu Ajansi.
"Wabak ini merebak dengan pantas," kata Tedros dalam satu taklimat media bersama secara hibrid, sambil menambah bahawa langkah tindak balas mesti dipacu oleh kepimpinan kerajaan, penglibatan komuniti serta penyelarasan erat dalam kalangan rakan.
Pelan kesiapsiagaan dan tindak balas bersama yang dibangunkan oleh WHO, CDC Afrika dan rakan itu adalah berasaskan prinsip "satu pelan, satu belanjawan, satu pasukan" yang merangkumi penyelarasan kecemasan, pengawasan, ujian makmal, pencegahan jangkitan, penjagaan klinikal, penglibatan komuniti, penyelidikan serta logistik.
Tedros berkata, pelan bagi tahun ini yang mempunyai had masa tertentu itu menelan kos sebanyak AS$518 juta.
Sementara itu, Ketua Pengarah CDC Afrika, Jean Kaseya berkata, wabak berkenaan telah mencatatkan sebanyak 397 kes disahkan dan 63 kematian, dengan lebih 5,009 kontak rapat kini berada di bawah pemantauan.
Beliau menganggarkan, risiko kematian kes adalah sekitar 15.9 peratus.
Sebelas negara kini dianggap berada dalam keadaan berisiko. Sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei, ia telah merebak dari satu wilayah dan tiga zon kesihatan kepada tiga wilayah serta 26 zon kesihatan yang terjejas di Congo, kata Kaseya.
"Ini menunjukkan bahawa wabak ini sedang bergerak aktif, dengan pusatnya masih di Ituri, di mana terletaknya lebih 90 peratus daripada keseluruhan kes dan 70 peratus kes kematian," tegas beliau.
Kaseya menyifatkan penularan strain Bundibugyo kali ini sebagai "paling serius" daripada tiga wabak yang pernah direkodkan akibat strain berkenaan, selain menjadi wabak Ebola "keempat terbesar" berdasarkan jumlah kes yang disahkan.
Sekiranya kes jangkitan terus meningkat, ia boleh menjadi wabak ketiga terbesar, katanya.
Pihak berkuasa mendedahkan bahawa penyebaran maklumat salah, faktor ketidakselamatan serta mobiliti penduduk yang tinggi menjadi cabaran utama dalam mengekang wabak itu.
Tedros memberi amaran bahawa "maklumat salah adalah hampir sama bahayanya dengan virus itu sendiri," manakala Kaseya pula menyatakan, terdapat segelintir komuniti yang mempersoal mengapa vaksin dan rawatan masih belum tersedia walaupun wabak Ebola telah berlaku selama hampir dua dekad.
Kaseya berkata, rakan-rakan telah berjanji untuk menyumbang hampir AS$498 juta namun mengingatkan bahawa setakat ini hanya sebahagian kecil daripada dana itu yang telah sampai ke negara terjejas, sekali gus menggesa agar komitmen berkenaan ditukarkan kepada penyaluran dana yang sebenar.
-- BERNAMA-ANADOLU