Isu eskalator: Kuil Batu Caves hantar LOD, tuntut Exco Selangor Papparaidu mohon maaf

R Nadarajah menjelaskan pembinaan eskalator merupakan alternatif kepada golongan OKU dan warga emas yang tidak dapat menaiki 272 anak tangga untuk sampai ke gua kuil berkenaan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, V Papparaidu susulan kenyataannya berhubung pembinaan eskalator di gua Batu Caves.
Ringkasan AI
- Pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves mengemukakan surat tuntutan terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, V Papparaidu berhubung kenyataannya mengenai pembinaan eskalator di gua Batu Caves.
- Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam, Tan Sri R Nadarajah, menyatakan tuntutan tersebut meminta permohonan maaf serta janji bertulis daripada Papparaidu untuk tidak mengulangi kenyataan kontroversial itu.
- Peguam mewakili kuil menjelaskan bahawa Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves diuruskan sebagai amanah kebajikan dan bukannya dimiliki secara peribadi, serta menjelaskan bahawa projek eskalator itu adalah untuk membantu golongan orang kurang upaya dan warga emas.
Papparaidu menurutnya diberi tempoh tujuh hari untuk memberikan maklum balas.
Jelasnya, tindakan undang-undang itu diambil susulan kenyataan Papparaidu dalam hantaran di platform TikTok baru-baru ini, yang memnberi gambaran seolah-olah Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves itu sebagai milik keluarga Nadarajah sehingga mengundang kecaman dan polemik.
"Surat tuntutan ini menuntut permohonan maaf tanpa syarat serta aku janji bertulis supaya beliau tidak mengulangi kenyataan sama dalam tempoh tujuh hari," katanya pada sidang media di Batu Caves, di sini pada Khamis.
Media melaporkan Papparaidu memaklumkan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-4/2025 pada 6 Februari 2025 memutuskan menolak permohonan Lesen Pendudukan Sementara bagi kegunaan komersial termasuk pembinaan eskalator di Gua Batu Caves.
Menurut Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti negeri itu, permohonan tersebut dikemukakan atas nama individu terbabit tanpa pendaftaran persatuan, sekali gus bercanggah dengan peraturan tanah di bawah Kanun Tanah Negara.
Sementara itu, menjelaskannya, peguam mewakili Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Datuk Selva Mookiah berkata, kuil berkenaan diuruskan Jawatankuasa Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam, iaitu sebuah amanah kebajikan yang ditubuhkan di bawah perintah mahkamah pada 1930 dan bukannya dimiliki individu.
Beliau memberitahu, permohonan awal projek eskalator itu dikemukakan atas status amanah kebajikan kuil, namun pihak berkuasa kemudiannya meminta nombor pendaftaran yang tidak dimiliki kuil kerana ia beroperasi sebagai amanah kebajikan di bawah Jabatan Peguam Negara.
"Terdapat lebih daripada satu kaedah sah bagi sesebuah rumah ibadat beroperasi di Malaysia. Kuil ini berada di bawah struktur Amanah Kebajikan dan berada di bawah pengawasan Peguam Negara dan bukan pertubuhan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS)," ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, Lembaga Pemegang Amanah kemudian memberi kuasa kepada Nadarajah selaku pengerusi dan pemegang amanah untuk mengemukakan permohonan dan bukan atas kapasiti peribadi.
Merujuk surat bertarikh 20 Mac 2025 yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pengesahan nombor pendaftaran, Selva berkata AGC mengesahkan Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam merupakan sebuah Khairat Awam, dengan kebenaran di bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359) dikeluarkan pada 30 Oktober 2017.
"Dalam surat itu, AGC menjelaskan tiada sebarang nombor pendaftraan dikeluarkan AGC bagi kuil tersebut," jelasnya.
Tambah Selva lagi, pihak kuil turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar arahan supaya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan, dengan Mahkamah Tinggi membenarkan kebenaran untuk kes itu diteruskan.
Dalam pada itu, Nadarajah menjelaskan pembinaan eskalator itu merupakan alternatif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang tidak dapat menaiki 272 anak tangga untuk sampai ke gua kuil berkenaan.
"Jadi isu ini tidak perlu dijadikan isu dan niat kami adalah baik," katanya.
Dalam sidang media berasingan, Papparaidu mengesahkan beliau menerima LOD daripada Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves yang menuntut RM1 juta. dan sedia 'berjumpa' di mahkamah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


