‎Masyarakat diminta tidak hanya memfokuskan kepada isu aurat ahli gimnas negara Fa‎rah Ann Abdul Hadi ‎selain bersikap terlalu selektif dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut yang mengaibkan diri antara satu dengan lain.

‎Exco Pergerakan Pemuda UMNO, ‎‎ Dr‎ Fathul Bari Mat Jahya‎ berkata h‎ukum kewajipan aurat merupakan hal yang tidak diragui lagi, malah satu kemunafikan jika orang Islam sendiri mempersoalkannya.‎

"Ia jelas dalam firman Allah yang membawa maksud, "Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.

"Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka. ‎‎

"Sebenarnya, tidak wajar untuk kita memfokuskan hanya kepada isu Farah Ann sedangkan atlet sukan yang lain, artis, pemimpin, penjawat awam serta swasta dan masyarakat Islam secara umumnya juga perlu diingatkan serta difahamkan tentang kewajipan aurat.

"Sikap selektif tidak akan menyelesaikan isu ini, sebaliknya hanya akan membawa kepada aib mengaibkan antara satu dengan yang lain. ‎

"Kita perlu melihat isu aurat ini secara telus melalui perspektif agama yang merentasi apa jua sentimen kerana hukum aurat tidak dibataskan dengan status, pangkat, pingat emas, populariti dan lain-lain.

"Sebaliknya ia adalah hukum yang Allah turunkan ke atas semua umat Islam. Maka, bahaskan secara telus, ikhlas dan berhikmah," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA:
Biarlah Tuhan sahaja yang menghakimi Farah Ann - Khairy Jamaluddin

Farah Ann 'serang' pengkritik: Tong kosong memang berbunyi nyaring

Isu Farah Ann: 'Gimnastik bukan untuk wanita Islam' - Mufti Perak
Kontroversi Farah Ann: Hentikan obsesi terhadap perkara remeh - CENBET

Dr Fathul mengulas ‎sikap pengguna media sosial yang menyelar ahli gimnas berusia 21 tahun itu selepas gambar atlet yang berpakaian gimnastik ketat tersebut dikatakan menampakkan lurah faraj.

Jelas Dr Fathul, apabila isu aurat dibangkitkan dalam kes Farah, cadangan supaya wanita tidak terlibat dalam sukan sebegini merupakan cadangan yang terbaik sebagai mengambil langkah berhati-hati demi melaksanakan tuntutan agama.

"Namun, jika ia tidak dipersetujui, saya ingin cadangkan supaya pihak kerajaan sediakan juga alternatif pakaian untuk atlet wanita negara yang ingin menjaga aurat mereka.

"Walaupun tidak perlu kepada paksaan, namun penjelasan tentang kewajipan aurat tetap perlu menyeluruh.
Penyebaran gambar-gambar yang mendedahkan aurat dan perbincangan tentang tubuh badan orang lain adalah hal yang mengaibkan

"Merupakan satu hal yang menyedihkan jika pihak kerajaan tidak boleh memperjuangkan alternatif pakaian yang menutup aurat bagi atlet sukan negara lelaki mahupun perempuan," ujarnya.

Dr Fathul, dalam pada itu, turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan Farah, namun mahu atlet itu tidak memandang remeh dengan teguran masyarakat umum tentang etika berpakaiannya.

"Farah mungkin memiliki alasan yang tersendiri. Namun, hukum tetap hukum dan ia tidak akan berubah walaupun berjuta pingat emas diperolehnya.

"Alangkah baik jika saudari terima nasihat-nasihat tersebut dengan positif dan berusaha untuk memperbaik kekurangan. Moga Allah berikan kekuatan kepada saudari.

"Kepada yang menasihati, saya nasihatkan supaya menjaga lisan. Nasihat perlu dibina atas kasih dan sayang serta bertujuan untuk memperbetulkan kesilapan bukan melahirkan kebencian.

"Penyebaran gambar-gambar yang mendedahkan aurat dan perbincangan tentang tubuh badan orang lain adalah hal yang mengaibkan.

"Dan tentunya termasuk dalam maksud hadis Nabi, "Barangsiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat" (Riwayat Abu Daud, no:4946)," katanya.

Pada Sabtu, Farah ‘menyerang’ kembali mereka yang mengkritiknya kerana mengenakan pakaian yang menjolok mata semasa di Sukan SEA 2015 di Singapura.

Farah melalui laman Twitternya, menulis peribahasa "empty cans make the most noise," atau ‘tong kosong bunyinya nyaring,’ yang membawa maksud orang kurang pengetahuan yang suka bercakap kosong.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria sebelum ini dilaporkan berkata mana-mana individu beragama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim yang sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis termasuk larangan membuka aurat di dalam isu sukan.

Tegasnya, isu itu seharusnya sudah jelas sejak berzaman dan tidak terlalu terikut-ikut dengan konsep serta cara pemakaian yang diperkenalkan negara Barat.