Skip to main content

Malaysia

Isu FELDA: Tangkapan dijangka bermula minggu depan - SPRM

PUTRAJAYA, 2 Sept - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman bercakap pada Sidang Media Khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  Photographed By: MUHD NA’IM  Filename: PTJ18_02092026_PC_SPRM.JPG
Abd Halim Aman, berkata setakat ini seramai 12 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan secara berperingkat bermula minggu depan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata setakat ini seramai 12 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga Ahli Lembaga Pengarah FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), seorang Setiausaha FIC, dua pegawai Bahagian Perundangan FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur.

"Beberapa tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat dan ia dijangka bermula seawal awal minggu hadapan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Rabu.

Abd Halim berkata, SPRM membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali sebagai OPS FELLA yang memfokuskan transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.

Katanya, enam kertas siasatan baharu dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

"Enam kertas siasatan baharu itu membabitkan isu pembelian dan pelaburan aset pada harga melebihi penilaian sebenar, sekali gus dipercayai menyebabkan kerugian kepada FELDA.

"Antara yang disiasat termasuk pembelian dan pengambilalihan beberapa aset serta hotel di dalam dan luar negara," katanya.

Menurut Abd Halim, siasatan antara lain membabitkan pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.

"Siasatan turut difokuskan kepada penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dugaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

"Satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti secara selari," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rasuah yang dipercayai terbabit masih belum dapat dikenal pasti kerana siasatan masih di peringkat awal.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim berkata, SPRM turut menerima maklumat pada 24 Ogos lalu daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi FELDA (PBBGF) berhubung kebimbangan terhadap kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit di FELDA Palong 7, Negeri Sembilan.

Katanya, program berkenaan dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka, termasuk isu berkaitan pembekalan dan penghantaran anak benih.

"Laporan susulan itu dibuat selaras dengan ketetapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu setiap kelemahan dan ketirisan dalam pengurusan FELDA ditangani sepenuhnya.

"Pihak pengurusan FELDA juga wajar melantik firma audit forensik sendiri. FELDA mempunyai peruntukan dan kewibawaan, jadi eloklah mereka melantik audit forensik sendiri bagi membantu pihak kami menjalankan penyiasatan," katanya.

Dalam pada itu, Abd Halim meminta semua pihak memberikan ruang secukupnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan profesional berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses penyiasatan.

"Diharapkan tidak ada pihak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses penyiasatan yang sedang dijalankan.

"Ini penting bagi memastikan hak serta kepentingan negara dan individu yang terlibat terus dipelihara, sekali gus menjamin imej serta kredibiliti negara," katanya.

Must Watch Video

Advertisement