HARI ini majoriti peminat bola sepak kembali tertumpu kepada isu tunggakan pembayaran gaji oleh pasukan Kelantan.

Biarpun bukan isu baharu, namun ia kembali diperkatakan setelah akaun Twitter FIFPro memuat naik status 'menegur' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana masih membenarkan pasukan bermasalah untuk terus beraksi tanpa sebarang tindakan.

FIFPro atau Konfederasi Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa, merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang mewakili lebih 65,000 pemain bola sepak profesional di seluruh dunia, dan ditubuhkan sejak 1965 untuk menjaga kebajikan pemain bola sepak.

Dalam tweet mereka, FIFPro mempersoalkan bagaimana FAM masih boleh bertolak ansur biarpun kelab masih berhutang dengan pemain.

"Kelab berhutang tetapi masih bermain seperti tiada apa-apa masalah? Mengapa hal ini dibiarkan?"


Tweet berkenaan merujuk kepada status yang dimuat naik bekas pemain import Kelantan, Johnny McKain.

McKain sebelum ini tidak berpuas hati apabila Kelantan menandatangani pemain dan pengarah teknikal baharu, biarpun tunggakan gajinya telah berlarutan selama tujuh bulan.


"Melihat Kelantan menandatangani pemain import baharu dan jurulatih baharu tanpa membayar tunggakan gaji, ia tidak betul. Sudah tujuh bulan berlalu," tulis McKain.

Dan mungkin juga reaksi daripada teguran berkenaan, FAM bersama Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bertindak membuat pemotongan mata empat pasukan yang gagal menjelaskan gaji tertunggak.

Enam mata sah dipotong dari Kelantan, T-Team, ATM dan Perlis.

Dalam kenyataan di akaun Facebook, FMLLP dan FAM turut menjelaskan pihak mereka telah menghantar beberapa amaran kepada pasukan-pasukan terbabit.


"Jika pasukan-pasukan tersebut gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang dinyatakan di atas sebelum 15 Mei 2017, maka pasukan tersebut akan dilarang daripada mendaftar pemain baharu semasa tempoh pendaftaran kedua sehingga perkara berkaitan diselesaikan sepenuhnya," kenyataan itu menyebut.

Malah, tindakan diturunkan divisyen boleh diambil jika pasukan-pasukan terbabit masih gagal menyelesaikan isu kewangan mereka.

Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, pasukan Kelantan dilihat paling terkesan. Ini kerana, mereka yang sebelum selesa di tangga kelima Liga Super, kini menghuni tangga ketujuh dengan hanya perbezaan satu mata dengan pasukan di kedudukan relegation zone (zon penyingkiran).