KUALA LUMPUR : Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh.berpandangan, siasatan berhubung konflik kepentingan kes SRC International melibatkan Hakim, Datuk Seri Mohd Nazlan Ghazali tidak seharusnya dibuat secara tergopoh gapah.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menunjukkan kelemahan teras utama keadilan.

Ujarnya, Anwar yang memimpin Kerajaan Madani ketika ini juga pernah berdepan dengan fasa ketidakadilan dan seharusnya berperanan sebagai pihak yang melaksanakan semak dan imbang.

“Pertamanya keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti juga kelihatan dilaksanakan. Oleh itu wajarlah proses keadilan diberi masa untuk berlangsung tanpa tergopoh gapah untuk mencapai keputusan . Ini  juga termasuk memberi mereka yang dituduh segala keanjalan termasuk khidmat peguam bela pilihan mereka.

“Dalam era kerajaan Madani yang dipimpin oleh YAB Perdana Menteri yang pernah mengalami ketidakadilan, sepatutnya beliau lebih prihatin terhadap isu yang sebegitu teras. Beliau mempunyai imperatif moral dan perlembagaan untuk memastikan tragedi 1998 yang menimpa beliau dan keluarga beliau, tidak menimpa lagi mana-mana rakyat Malaysia.

“Kita tidak meminta Perdana Menteri selaku pimpinan cabang eksekutif negara untuk campur tangan terhadap urusan cabang kehakiman tetapi kita berharap beliau memainkan peranan imbang serta periksa agar sebarang ketidakadilan akan dapat diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Rozilan berpendapat, tindakan tidak membenarkan penangguhan prosiding serta proses untuk melantik peguam pilihan Najib Razak juga merupakan situasi yang telah mencemarkan proses keadilan.

Beliau dalam masa sama menyatakan, Hakim Nazlan Ghazali juga telah mendatangkan implikasi yang besar apabila tidak mengecualikan diri daripada perbicaraan kes tersebut berikutan kepentingan beliau sewaktu menyandang jawatan terdahulu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang bukti kesalahan jenayah yang didakwa dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.