Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi penjelasan yang munasabah mengenai kesan pelaksanaan harga barangan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diletakkan pada kadar sifar pada sesi Dewan Rakyat.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya berterima kasih dengan keprihatinan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyuarakan kesengsaraan yang dihadapi rakyat berhubung isu kos sara hidup.

Katanya, jika Najib mahu penjelasan lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan boleh bertanya mengenai perkara itu pada minggu depan sewaktu sesi perbahasan.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, antaranya termasuk perumahan, pendidikan, utiliti dan kesihatan, dan bukannya disebabkan oleh GST semata-mata.

"Saya alu-alukan Najib 16 Julai ini untuk hadir dan tanya semua perkara berkaitan. InsyaAllah saya akan jawab dengan tenang dan munasabah," kata Saifuddin kepada media selepas melawat usahawan yang menerima bantuan peralatan di Barat Daya, Balik Pulau pada Jumaat.

Saifuddin menunjukkan bakat menggunting rambut salah seorang pelanggan ketika bertemu Pengusaha Kedai Gunting Rambut Shady Saiful Shamsudin (kiri), yang merupakan penerima Bantuan Peralatan Ekonomi Usahawan Daerah Barat Daya hari ini. - BERNAMA

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, diminta mengulas kenyataan Najib yang terkejut apabila kerajaan memaklumkan penurunan harga barang yang rendah selepas GST diletakkan pada kadar sifar bermula 1 Jun lepas.

BACA: Penurunan harga barang selepas GST kadar sifar sangat rendah

Menurut Najib, tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyatakan GST bukan punca kenaikan harga barang bercanggah dengan tuduhan yang mereka gunakan terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau merujuk laporan sebuah portal berita yang memetik kenyataan Saifuddin sebagai berkata harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.

Sementara itu, berhubung kenyataan terdapat penurunan harga barangan yang dipersendakan orang ramai, Saifuddin meminta golongan berkenaan supaya menyemak harga barangan menerusi aplikasi Paparan Harga yang dibangunkan kementeriannya sejak tahun lepas.

"Kesedaran orang ramai tentang kewujudan aplikasi yang membantu semakan harga ini masih rendah. Sudah lama aplikasi ini dibangunkan tetapi hanya 42,000 orang sahaja yang menggunakan aplikasi ini.

"Aplikasi ini boleh beri maklumat tentang kedudukan harga barang pada harga semasa, boleh beritahu harga ayam, daging, telur, susu atau Milo semua berapa dan harga itu boleh dapat di kedai mana.

"Saya mempelawa netizen dan orang ramai untuk akses Price Catcher, dengan cara itu mereka boleh mendapat maklumat dan panduan sebelum berbelanja," katanya.

Sementara itu, Saifuddin menjelaskan, sepanjang tahun ini sahaja terdapat 1,300 peniaga yang dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan manakala nilai rampasan barangan mencecah RM7.5 juta.

Tambahnya, kementerian menerusi 2,300 anggota penguatkuasaan sentiasa turun padang dan ambil tindakan terhadap aduan pengguna.