Isu hidang arak: Tiong King Sing akui kesilapan, tegaskan tidak sepatutnya jadi isu

Tiong King Sing menjelaskan, majlis yang menjadi kontroversi baru-baru ini bukan acara rasmi kerajaan, sebaliknya dianjurkan pihak industri pelancongan sebagai program tertutup yang turut melibatkan wakil-wakil antarabangsa. - Foto YouTube Parlimen
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui kekhilafan beliau kerana tidak memaklumkan lebih awal mengenai majlis makan malam yang tular baru-baru ini merupakan majlis tertutup atau private function, sekali gus menegaskan isu berkaitan hidangan arak tidak sepatutnya timbul.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan majlis makan malam yang tular bukan acara rasmi kerajaan tetapi program tertutup anjuran industri pelancongan, dan mengakui kekhilafan kerana tidak memaklumkan perkara itu lebih awal.
- Beliau menegaskan penyertaan kementerian hanya secara simbolik tanpa pembiayaan rasmi, dan oleh itu Pekeliling Perkhidmatan 3/2023 tidak terpakai serta isu hidangan arak tidak sepatutnya timbul.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras agar insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang, menolak alasan bahawa minuman keras hanya dihidang selepas majlis rasmi selesai.
"Backdrop majlis itu ada tertera logo Tourism Malaysia, itu sahaja. Yang lain-lain seperti nama penganjur industri tidak kelihatan di paparan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
King Sing menjelaskan, penyertaan kementeriannya hanyalah secara simbolik dan tidak melibatkan sebarang pembiayaan atau penglibatan rasmi kerajaan.
"Saya tahu logo Malaysia ada di situ, ditunjukkan dalam Facebook dan TikTok, tapi itu hanya pada backdrop. Saya ingin tegaskan sekali lagi, majlis itu bukan rasmi, ia adalah private function dan (justeru itu) Pekeliling Perkhidmatan 3/2023 tidak terpakai," katanya.
Justeru kata beliau, isu berkaitan minuman beralkohol tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia tidak berkait langsung dengan protokol atau tatacara acara rasmi kerajaan.
Selain itu beliau sekali lagi menzahirkan kekesalan atas kekeliruan yang timbul serta berharap isu tersebut tidak diperbesarkan.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan hidangan arak dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Ahli Parlimen Bintulu itu.
Beberapa gambar turut menunjukkan Tiong bersama tetamu lain memegang gelas berisi minuman wain dan bir, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen mengenai etika majlis berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam turut mengeluarkan amaran keras kepada Tiong serta kementerian berkenaan agar memastikan insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Anwar menegaskan penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas majlis rasmi selesai tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan secara tegas melarang sebarang penghidangan arak dalam program kerajaan, tanpa mengira masa atau fasa acara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami